Bajet 2023: Kerajaan Perlu Kotakan Janji Tingkatkan Kemudahan Kesihatan, Pendidikan Di Sabah -Christina

christina-liew.jpg

Datuk Christina Liew. (Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Peningkatan RM1.1 bilion kepada Sabah menerusi Bajet 2023 menimbulkan kebimbangan sama ada ia mencukupi untuk memenuhi keperluan mendesak negeri ini, kata Datuk Christina Liew.

Sambil menyambut baik peningkatan itu, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah berharap Kerajaan Pusat akan mengotakan janji untuk memberi keutamaan bagi meningkatkan kemudahan kesihatan di Sabah.

Menurutnya, RM36.1 bilion diperuntukkan untuk Kementerian Kesihatan (KKM) yang mana RM420 juta diperuntukkan bagi membaik pulih hospital dan klinik kesihatan daif selain perolehan peralatan perubatan baharu.

“Jumlah itu untuk seluruh negara, dan bukan hanya untuk Sabah yang mana kira-kira 326 klinik kesihatan memerlukan penambahbaikan segera (seperti yang diumumkan oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin semasa lawatan beliau ke Sabah baru-baru ini).

“Selain itu, Hospital Tawau dan Hospital Duchess of Kent akan dinaik taraf menjadi hospital pakar utama dengan perkhidmatan kepakaran tambahan. Hal ini yang membimbangkan saya sama ada ia mencukupi,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Selain itu, Christina yang juga Ahli Parlimen Tawau meragui peruntukan RM1.1 bilion bagi membaik pulih sekolah daif di Sabah dan Sarawak mencukupi memandangkan Sabah sahaja mempunyai jumlah sekolah daif yang banyak.

Mengenai peruntukan RM1.3 bilion untuk Digital Nasional Bhd meningkatkan liputan internet 5G di seluruh negara, Christina menegaskan bahawa pelajar di Sabah, terutamanya di sekolah luar bandar, masih bergelut dengan sambungan internet.

“Berdasarkan laporan media, sebanyak 52 sekolah di Sabah tidak mempunyai capaian internet asas (apatah lagi 4G atau 5G),” katanya.

Selain itu, beliau kesal apabila Bajet 2023 yang disifatkan inklusif tidak memasukkan sebarang skim bantuan untuk mangsa banjir dan kebakaran.

Bagaimanapun, beliau memuji pengumuman Menteri Kewangan bahawa kerajaan akan menambah baik infrastruktur di tujuh lapangan terbang di Sabah dan Sarawak. – AWANI

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top