Bajet 2023 Diharap Sedia Peruntukan Besar Kepada Sabah, Sarawak

pelajar-keningau-1.jpg
Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Bajet 2023 yang akan dibentangkan pada Jumaat ini, diharap terus menyediakan peruntukan besar kepada Sabah dan Sarawak bagi melaksanakan projek pembangunan, khususnya infrastruktur serta pendidikan di kawasan pedalaman kedua-dua negeri itu.

Bawah Bajet 2022, sebanyak RM5.16 bilion diperuntukkan kepada Sabah serta RM4.67 bilion untuk Sarawak bagi tujuan perbelanjaan pembangunan, di mana ia merupakan peningkatan sebanyak RM104 juta bagi Sabah dan Sarawak (RM158 juta) berbanding 2021.

Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (Ekonomi) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sabah, Herniza Roxanne Marcus, berkata peruntukan tinggi itu penting kerana masih banyak kawasan pedalaman di kedua-dua negeri berkenaan belum dilengkapi infrastruktur asas seperti jalan raya yang baik, air dan elektrik sedangkan ia komponen utama untuk memajukan penduduk.

Bagaimanapun, katanya, beliau memahami pembangunan infrastruktur di sesetengah kawasan di Sabah seperti daerah Tongod yang berkeluasan lebih 10,000 kilometer persegi, memerlukan masa lama untuk dilaksanakan berikutan faktor bentuk geografi dan keluasan kawasan.

“Namun dengan fokus dan perancangan pembangunan yang teratur serta efektif, saya percaya kita boleh mengeluarkan Tongod daripada senarai antara daerah termiskin di Sabah. Ini kerana lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan dapat disedia bagi membangunkan daerah berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Bagi mencapai pembangunan itu, beliau juga berharap kerajaan negeri bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dalam menyalurkan maklumat tepat berhubung data kemiskinan dan lain-lain agar keperluan penduduk dapat diperincikan.

Selain infrastruktur, beliau berkata, pembangunan jaringan jalur lebar Internet juga perlu dititikberatkan kerana kemudahan telekomunikasi itu sudah terbukti menjadi penggerak pelbagai sektor, terutama pendidikan dan pelancongan.

“Pendidikan merupakan nadi kepada masyarakat yang berilmu, justeru kepentingan mengutamakan keperluan asas Internet untuk pendidikan perlu diberi perhatian khusus bagi membolehkan bidang ini bergerak seiring kemajuan teknologi, terutama dalam proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Berhubung pelancongan pula, Herniza berkata, ia antara sektor di dua negeri itu yang paling terkesan akibat pandemik COVID-19 dan untuk membangunkannya semula, kerajaan perlu membuat pelaburan bagi memastikan fasiliti industri berkenaan berada pada tahap memuaskan untuk menerima pelawat.

Sementara itu, penganalisis sosiopolitik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi pula berharap kerajaan dapat tampil dengan mekanisme khusus bagi Sabah dan Sarawak menangani isu kenaikan kos sara hidup ketika ini.

Beliau berkata, antara mekanisme boleh dipertimbang ialah meningkatkan geran pembangunan perniagaan kepada usahawan melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan menyalurkan bantuan subsidi secara bersasar kepada kelompok B40, tanpa meminggirkan golongan kelas pertengahan yang turut memerlukan sokongan kerajaan.

“Isu lain ialah jaringan Internet perlu diperluaskan dan dipermudahkan kerana ia kini merupakan perkara asas, lebih-lebih lagi Sabah dan Sarawak berhasrat menjadi negeri berstatus maju serta berkuasa ekonomi digital.

“Ini bermakna secara keseluruhan, Kerajaan Persekutuan perlu menggandakan bajet (peruntukan) kepada mereka, barulah sokongan ada impak,” katanya. – BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top