BAHASA Sambut Baik Penggunaan BM Dalam Urusan Rasmi Negara

jasni.jpg

Jasni Matlani

KOTA KINABALU: Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) menyokong kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berhubung penggunaan Bahasa Melayu dalam segala urusan rasmi negara termasuk mesyuarat dan persidangan antarabangsa sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.

Presiden badan itu, Datuk Jasni Matlani berkata, sudah tiba masanya teraju kepimpinan negara membebaskan diri daripada belanggu penjajahan dan keluar daripada kepompong “Minda Tertawan” yang menggambarkan seolah-olah kita masih dibelenggu penjajah dalam segala segi, termasuk berkaitan isu pendaulatan bahasa kebangsaan.

“Sudah lama para pemimpin negara kita berbangga dengan penggunaan bahasa Inggeris dalam segala urusan rasmi kerajaan di peringkat antarabangsa, seolah-olah kita masih belum merdeka dan tidak mempunyai bahasa kebangsaan sendiri”katanya.

Jasni berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam sebagai menyokong kenyataan YAB Perdana Menteri untuk menggunakan dan berbangga dengan penggunaan bahasa Melayu dalam segala urusan rasmi kerajaan di peringkat antarabangsa.

“Memang tidak ada alasan untuk semua pihak merasa janggal dengan penggunaan bahasa kebangsaan, setelah hampir 60 tahun merdeka, malah kenyataan ini harus disambut baik terutama oleh pihak berwajib seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)” Katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Jasni, yang juga penerima Anugerah SEA Write 2015, berkata, Bahasa turut mengalu-alukan kenyataan Ketua Satu Gapena, Datuk Zainal Abidin Borhan yang menyokong YAB Perdana Menteri, Dato Seri Ismail Sabri Yaakob, berhubung dengan penggunaan bahasa kebangsaan di peringkat antarabangsa dalam semua urusan rasmi negara itu.

“Sebagai sebuah petubuhan besar yang memperjuangkan bahasa Melayu dan menaungi seluruh persatuan penulis negara ini, sudah sewajarnya Gapena berdiri di belakang YAB Perdana Menteri dalam isu ini” tegasnya.

Dalam kenyataan itu Datuk Zainal turut mengharapkan agar para perwakilan rasmi Malaysia di peringkat antarabangsa khasnya pejabat Peseuruhjaya Tinggi dan Kedutaan, serta konsulat Malaysia di seluruh dunia dapat memainkan peranan proaktif dalam menyebarluaskan proses pengantarabangsaan bahasa Melayu.

Malah, jabatan Atase Pendidikan, katanya, perlu turut diberikan peranan untuk meningkatkan penyebaran tersebut, disamping mewujudkan jawatan guru bahasa di jabatan berkenaan.

Untuk rekod baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri menggunakan Bahasa Melayu ketika mengadakan pertemuan dan mesyuarat terhad serta sidang media bersama Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan o-cha dalam kunjungan rasminya ke negara itu.

Hal yang sama juga turut dilakukan beliau, ketika kunjungan rasmi beliau ke Negara Brunei Daruusalam dan Kemboja. –Sabah360online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top