PENAMPANG: Kabinet Persekutuan baru-baru ini bersetuju supaya penggunaan bahasa Inggeris kekal dibenarkan dalam urusan rasmi di Sabah dan Sarawak, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, keputusan itu selaras dengan perlembagaan kedua-dua negeri yang membenarkan penggunaan bahasa Inggeris termasuk dalam prosiding di mahkamah dan Dewan Undangan negeri (DUN) Sabah dan Sarawak.
“Kabinet Persekutuan bersetuju supaya bahasa Inggeris dibenarkan dalam urusan rasmi di Sabah dan Sarawak selaras dengan perlembagaan kedua-dua negeri yang menerima penggunaan bahasa itu,” katanya pada Program Be English Speaker Today (BEST) di Sekolah Kebangsaan (SK) Moyog, di sini, pada Isnin.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya semua surat rasmi untuk urusan kerajaan termasuk dari pihak swasta wajib menggunakan bahasa Melayu, kecuali surat dari syarikat antarabangsa.
Ewon berkata, penggunaan bahasa Inggeris tidak menjejaskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, sebaliknya menambahkan lagi keupayaan anak tempatan untuk menguasai bahasa antarabangsa, di samping bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda.
Sementara itu, Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang menyifatkan program BEST yang dianjurkan Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Yayasan Pendidikan INDEP (IEF) sebagai inisiatif sesuai untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.
“Pelancaran BEST ini dapat membudayakan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan anak-anak kita selain daripada bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda,” katanya.
Katanya, pelajar perlu menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa iaitu bahasa ibunda yang menggambarkan suku bangsa seseorang, bahasa kebangsaan dan sekurang-kurangnya satu bahasa utama antarabangsa.
Beliau menekankan bahawa bahasa kebangsaan sebagai wajib untuk dikuasai semua warga negara Malaysia, di samping bahasa antarabangsa seperti Inggeris, Mandarin, Arab atau bahasa utama lain di dunia.
“Saya menghadiri mesyuarat menteri-menteri di Paris beberapa bulan lalu dan banyak yang mengambil bahagian dalam mesyuarat itu menggunakan bahasa masing-masing tetapi sudah tentu apabila kita berupaya menggunakan bahasa antarabangsa, ia akan menjadi kelebihan apabila berada dalam perkumpulan antarabangsa,” katanya.
Ewon turut merakamkan penghargaannya kepada YBR dan Yayasan Pendidikan INDEP atas inisiatif menganjurkan program BEST yang memberi manfaat kepada murid dan pelajar sekolah.
Program itu katanya memberi manfaat kepada 390 murid di 10 sekolah rendah dan dua badan bukan kerajaan (NGO) di enam daerah seluruh Sabah yang mengikuti pembelajaran mengikut modul disediakan untuk memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris.
Beliau turut berharap agar program BEST itu dapat diperluaskan ke daerah lain dan meminta supaya YBR meningkatkan lagi sumbangan untuk program itu supaya lebih ramai murid dan pelajar luar bandar di Sabah dapat menguasai bahasa Inggeris. – BHarian