KOTA KINABALU: Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) akan menganjurkan Festival Puisi Esei Antarabangsa kali ke-2 bermula esok hingga 18 Jun ini.
Presidennya, Datuk Jasni Matlani berkata, festival berkenaan melibatkan ramai penulis dari negara ASEAN terutamanya Brunei, Indonesia, Thailand dan Malaysia.
“Penyertaan peserta luar negara kali ini lebih ramai berbanding tahun sebelumnya kerana mungkin disebabkan tiada lagi sebarang halangan dan sekatan perjalanan merentas sempadan dilaksanakan.
“Situasi ini dilihat baik untuk sektor pelancongan ilmu, diplomasi sastera dan budaya serta pengukuhan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan akhir program berkenaan di beberapa lokasi terpilih di sekitar daerah Putatan, di sini, hari ini.
Katanya, program itu dianjurkan dengan sokongan kerajaan negeri, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu dan GAPENA.
“Turut dibantu beberapa badan bukan kerajaan (NGO) luar negara termasuklah kumpulan Putra Seni dan Badan Asterawani Brunei, Persatuan penulis Pattani, Thailand dan Komunitas Puisi Esei ASEAN Jakarta.
“Program ini juga dijangka akan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan,” katanya.
Jasni yang juga Ahli Lembaga Pengelola DBP Malaysia berkata, program itu diisi dengan pelbagai program menarik seperti persembahan kesenian, seminar, dialog dua hala dan forum hala tuju puisi.
“Forum tersebut sangat perlu kerana kita tidak tahu perkara yang berlaku dalam tempoh 10 tahun akan datang dan perlunya rancangan serta persiapan dari sekarang,” katanya.
Menurutnya, antara tokoh yang terlibat ialah ialah Dr. Imam Qalyubi, Agus Sarjono, Jamal D Rahman, Fanny Jonathans, Dr. Yundani Husni, Fatin Hamama, dan Nia Samsihono dari Indonesia.
“Selain itu, Wanida Tehlong dan Abdul Roya Panaemalae dari Thailand, Prof Dr. Ampuan Brahim Ampuan Tengah, dan Zefri Arif, Haji Jawawi Haji Ahmad dari Brunei.
“Malaysia pula menampilkan Datuk Dr. Ramzah Dambul, Hafiza Iszahanid, S. My Zakir, Amiruddin Ali Hanapiah, Zainal Abidin Borhan, Hamzah Hamdani, Abd Karim Gullam dan Dr. Rahmah Ghani,” katanya. – Utusan Borneo