Badan berkanun, GLC bayar RM138.7 juta dividen dan sumbangan kepada kerajaan negeri Sabah

hajiji.jpg

(Gambar fail)

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah membayar dividen serta sumbangan berjumlah RM138.7 juta kepada Kerajaan Negeri Sabah setakat Oktober tahun ini, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata angka itu adalah 8.8 peratus lebih rendah berbanding jumlah yang diterima pada tahun lepas.

“Ia agak mengecewakan. Semua badan berkanun dan GLC perlu meningkatkan usaha untuk menjana lebih banyak pendapatan pada tahun-tahun akan datang,” katanya dalam ucapan beliau pada Majlis Penyerahan Dividen dan Sumbangan Badan Berkanun serta GLC Sabah di sini kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Hajiji berkata antara yang membayar dividen kepada kerajaan negeri ialah SMJ Sdn Bhd (SMJSB), GLC “termuda” yang membayar RM50 juta.

Agensi lain termasuk Perbadanan Pinjaman Sabah (RM17 juta), KKIP Sdn Bhd (RM12 juta), Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (RM12 juta), Innoprise Corporation Sdn Bhd (RM3.568 juta) dan Desa Plus Sdn Bhd (RM2 juta).

Hajiji berkata semua badan berkanun dan lembaga pengarah GLC perlu melaksanakan tadbir urus korporat yang baik dari sudut pentadbiran serta penilaian bagi memastikan keselamatan kedua-dua pihak adalah terjamin.

Beliau turut memilih Sawit Kinabalu sebagai penanda aras bagi semua GLC dan badan berkanun untuk dicontohi selepas menunjukkan daya tahan serta daya saing yang kukuh dalam industri meskipun berdepan harga komoditi minyak sawit yang tidak menentu.- BERNAMA

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top