BONGAWAN: Presiden LDP, Tan Sri Chong Kah Kiat, berkata calonnya di DUN Bongawan, Mohd Azree Abd Ghani, akan dilantik sebagai menteri penuh sekiranya mereka berjaya membentuk kerajaan pada 26 Sept.
Katanya, pelantikan itu nanti untuk mengembalikan maruah rakyat Bongawan selepas sekian lama wakil rakyatnya tidak diberi kepercayaan menjawat sebarang jawatan menteri penuh.
“Bekas wakil rakyat dulu juga kawan saya, Daud (Yusof), orangnya bagus, saudara Azree juga tetapi saya sakit hati kerana dia tidak dihormati Warisan.
“Tiada sebab kenapa Daud yang berpengalaman dalam bidang pertanian dan penternakan menjadi pembantu menteri saja kepada seseorang yang langsung tiada pengalaman,” katanya ketika berucap dalam satu majlis hari ini.
Sehubungan itu, bekas ketua menteri Sabah itu berkata, LDP memberi keyakinan penuh kepada Azree untuk menjadi menteri penuh bagi mengembalikan maruah rakyat Bongawan jika LDP menang di kerusi itu dan membentuk kerajaan negeri.
Foto: FB Mohd Azree Abd Ghani