KOTA KINABALU: Empat Ahli Parlimen Pembangkang termasuk Ketua Wira Parti Warisan, Datuk Mohd Azis Jamman mempertikai kenyataan Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mempertahankan Tan Sri Azam Baki.
Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen & Undang-Undang) seolah-olah memandang ringan isu pegangan saham Azam Baki selaku, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Mohd Azis bersama Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Ahli Parlimen Selayang, Willian Leong Jee Keen menerusi satu kenyataan bersama berkata, Wan Junaidi memberi justifikasi isu saham dipegang oleh Azam yang bernilai RM 330,000 adalah mampu milik.
Namun, perlu ditegaskan di sini bahawa ia bukan mengenai pembelian saham mampu milik tetapi, ini berkatian tentang konflik kepentingan dan integriti sebagai seorang yang mengetuai SPRM.
Perkara ini berkait rapat tentang kepercayaan rakyat jelata terhadap SPRM selaku badan yang membasmi rasuah. Tapi, Wan Junaidi nampaknya telah mengabaikan kesemua persoalan ini.
Malah, jika dilihat Azam sendiri menafikan pembelian saham itu sebaliknya, saham itu dikatakan milik adiknya tetapi adiknya menumpang nama beliau untuk membeli saham tersebut.
“Kami ambil maklum bahawa Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah diwujudkan secara perundangan mengikut Seksyen 14 Akta SPRM 2009 dan ia diketuai oleh Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim.
“Jawatankuasa ini akan mengambil langkah berkaitan tentang isu Azam Baki ini. Persoalan kami, bila lagi giliran Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) yang diketuai Tuan Abdul Latiff Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai daripada PAS akan bertindak, Kedua-dua jawatankuasa ditubuhkan melalui peruntukan yang berlainan dan mempunyai peranan yang berlainan.
“Mengapakah seruan kita untuk mengadakan pendengaran untuk Azam Baki diketepikan? Bagaimana demokrasi berparlimen di Malaysia dapat berfungsi jika PSC tidak dapat menjalankan tugas tanpa perlu mendapatkan kelulusan daripada eksekutif.
“Mengapakah Setiausaha Dewan Rakyat perlu menulis surat kepada Wan Junaidi untuk mendapatkan kelulusan? Kami lihat tiada keperluan untuk mendapatkan kelulusan Wan Junaidi.
“Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Setiausaha Dewan Rakyat harus menetapkan tarikh bagi mesyuarat mahupun pendengaran PSC tanpa berlengah,” katanya.
Menurut mereka, selagi desakan tidak dibuat PSC selaku agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri tidak akan menjalankan tugas selaras dengan apa yang akan dilakukan oleh Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah. – Borneo Today