KOTA KINABALU: Kegagalan pihak berwajib melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan jalan yang rosak sekitar Inanam hingga Manggatal menyebabkan Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman mengambil pendekatan lain bagi menarik perhatian pihak pemegang taruh.
Kelmarin, Ketua Wira Parti Warisan (Warisan) itu bertindak menanda jalan yang berlubang sekitar kawasan Parlimen Sepanggar dengan tanda warna merah bagi membuka mata pihak berwajib untuk membaiki segera kerosakan jalan di kawasan itu.
“Saya telah menerima aduan mengenai kerosakan dan lubang di kebanyakan kawasan yang saya lawati itu.
“Kerosakan pada permukaan jalan dibeberapa kawasan sangat bahaya untuk pengguna khususnya kepada penunggang motosikal.
“Maka, pihak bertanggungjawab perlu segera menjalankan kerja menyelenggara jalan sebelum kemalangan berlaku.
“Saya gesa agar tindakan segera dapat diambil oleh pihak berkaitan untuk menampal jalan-jalan yang rosak ini sebelum berlaku kemalangan yang boleh meragut nyawa pengguna,” katanya menerusi laman Facebooknya kelmarin.
Mohd Azis berkata, sekiranya tiada tindakan diambil dalam masa terdekat, beliau akan menyelesaikan sendiri masalah ini dengan mengunakan dana yang akan diusahakan sendiri.
Sumber: Borneo Today