KOTA KINABALU: Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan (Warisan), Azhar Matussin kekal dengan pendiriannya untuk kekal bersama Warisan sekali gus berjuang bersama kepimpinan sedia ada.
Katanya, beliau akan terus menghormati mandat serta kepercayaan yang telah diberikan kepadanya pada Pilihan Raya Negeri (PRN16) lalu.
“Dalam tempoh sama, sebagai sahabat saya turut bersimpati dengan masalah kes mahkamah dihadapi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony.
“Keputusan Peter Anthony mengumumkan keluar dari Warisan Sabah sudah diduga awal namun ini merupakan satu proses demokrasi di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Azhar yang juga ADUN Darau berkata, keputusan Peter Anthony ini untuk menubuhkan sebuah lagi parti pelbagai kaum yang bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dilihat hanya akan memecahbelahkan rakyat Sabah serta masyarakat khususnya kawasan di pedalaman.
“Kita ucapkan selamat maju jaya kepada Peter Anthony. Sebagai sahabat saya menghargai hubungan persahabatan selama ini,” ujarnya.
Azhar berkata, beliau menjelaskan bahawa sokongan akar umbi kepada Parti Warisan masih kukuh namun pemimpin sentiasa berganti namun perjuangan hak rakyat Sabah tetap diteruskan.
“Kita akan terus memperjuangkan menuntut hak rakyat Sabah yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 63 (MA63).
“Apa yang diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini masih belum mencukupi. Kita belum lihat perlaksanaannya. Kita masih mahu selesaikan tuntutan lain berkaitan melibatkan petroleum, pelantar benua, kuasa ke atas tanah serta beberapa perkara lain,” katanya.
Azhar menegaskan, sebagai pemimpin beliau sentiasa mengambil pendekatan untuk tidak mudah terpengaruh dengan orang lain sekali gus kekal bersama kepimpinan sedia ada.- Borneo Today