Azhar Bidas Mohamaddin, Melompat Parti Demi Rakyat Alasan Murahan

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Alasan ‘Melompat Demi Rakyat’ yang dinyatakan Ahli Parlimen Lahad Datu, Datuk Mohamaddin Ketapi, terlalu murahan kerana ini ‘jawapan standard’ yang sering digunakan kalangan ahli politik yang melompat parti.

Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Warisan, Azhar Matussin berkata, majoriti rakyat tahu alasan sedemikian hanyalah untuk kepentingan peribadi dan kelangsungan politik individu serta bukannya untuk rakyat

“Bukan mudah untuk menjadi wakil rakyat yang jujur dan setia kepada mandat rakyat serta mengutamakan perjuangan parti dan rakyat demi memartabatkan bangsa Sabah.

“Mohamaddin memilih jalan senang dengan membelakangkan mandat yang sudah diberikan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) dan ini adalah tidak wajar diterima oleh semua pihak.

“Kita juga persoalkan negara mana yang beliau maksudkan ketika bercakap tentang hak kebebasan melompat parti dan sebagainya.

“Seperti kita tahu di beberapa negara maju jika ada kalangan wakil rakyat lompat parti…secara automatik kerusinya kosong dan pilihan raya akan diadakan,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Azhar berkata ketika ini antara negara yang mempunyai undang-undang anti-lompat parti termasuklah Singapura, Thailand, India, Israel, Portugal, Bulgaria, Romania, Armenia dan Seychelles.

“Saya tidak nafikan ada juga negara maju yang tidak mempunyai undang-undang anti-lompat parti. Tapi jarang kita dengar wakil rakyat mereka melompat dari satu parti ke parti yang lain.

“Ini kerana wakil rakyat di sana sudah matang berpolitik. Majoriti ahli politik atau wakil rakyat di sana sudah stabil dari segi ekonomi sebelum masuk ke gelanggang politik, namun lain keadaannya di negara kita.

“Walaupun bukan semua tetapi ada juga yang berpolitik untuk kepentingan ekonomi peribadi. Ini tidak boleh disangkal,” katanya.

Azhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Darau, mengulas kenyataan Mohamaddin yang juga ADUN Segama yang mengumumkan akan bertanding semula di Parlimen Lahad Datu serta melompat parti demi rakyat.

Azhar berkata tiada sesiapa pun boleh menghalang hasrat Mohamaddin untuk bertanding semula pada Pilihanraya Umum ke 15 (PRU15) akan datang

“Sebagai sahabat yang pernah bersama-sama dalam satu perjuangan parti, saya sentiasa mendoakan agar beliau dikurniakan kesihatan yang baik agar dapat meneruskan karier politiknya,” katanya. – Borneo Today

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top