Azalina Tolak Gesaan UMNO Sokong Sidang Khas Parlimen

azalina.jpg
Kongsi Bersama

Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said menolak seruan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan, yang mahu Ahli Parlimen parti itu menyokong sidang khas Parlimen diadakan berhubung pengisytiharan darurat.

Azalina berkata, sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat beliau berpegang teguh kepada demokrasi berparlimen.

“Bagaimanapun, terdapat isu perundangan yang wajar dan perlu dipertimbangkan lebih mendalam lagi sebelum saya memberikan persetujuan kepada isu tersebut. Lebih-lebih lagi ia menyentuh kuasa dan budi bicara Agong bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam surat balas dihantar kepada Setiausaha Agung Umno itu.

Azalina berkata, Parlimen hanya boleh dipanggil sebagaimana difikirkan sesuai oleh Agong selaras Fasal 14(1) Ordinan yang baru saja dimasyhurkan baru-baru ini ketika pengumuman darurat.

“Oleh itu, pada hemat saya, kebarangkalian Agong memanggil satu persidangan Parlimen dalam masa terdekat ini ataupun membatalkan proklamasi dan ordinan tersebut sama sekali sangatlah tipis.

“Atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas, maka dengan segala hormatnya saya menolak dan tidak bersetuju dengan permohonan persetujuan ke atas isu tersebut seperti mana diminta oleh YB Pontian melalui surat 18 Januari 2021,” katanya.

Menerusi surat itu juga, Azalina mencadangkan supaya Agong menubuhkan Majlis Khas Parlimen (bipartisan) yang boleh disertai ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara daripada parti kerajaan serta pembangkang.

Katanya, setiap permasalahan dan rintihan rakyat di kawasan Parlimen masing-masing boleh dibawa ke perhatian menteri Umno secara rasmi dan tidak rasmi dalam mesyuarat Kabinet.

Beliau turut memohon supaya wakil Umno dapat dilantik secepat mungkin ke Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang akan ditubuhkan.

Terdahulu, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa mendedahkan suratnya kepada Ahmad, membantah tindakan setiausaha agung parti itu meminta Ahli Parlimen Umno bersetuju memanggil sidang Parlimen bagi membincangkan ordinan darurat, mengikut Perkara 150 Fasal (3) Perlembagaan Persekutuan (PP).

Beliau menyifatkan surat itu suatu “kesilapan besar” dalam mentafsirkan fasal berkenaan dan ia perlu ditarik semula.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top