Azalina pertikai pembabitan penimbang tara komersial dalam isu tuntutan Kumpulan Sulu

azalina.jpg

(Gambar fail Bernama)

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Malaysia terus mempersoalkan bagaimana penimbang tara komersial boleh dijadikan platform yang tepat untuk menyelesaikan isu pertikaian negara seperti tuntutan kumpulan Sulu ke atas Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata langkah sedemikian bukan sahaja tidak masuk akal, malah ada banyak persoalan yang perlu dijawab dalam pertikaian itu.

Katanya, beliau tidak akan berdiam diri sekiranya maruah dan reputasi negara mahu dicemari dengan tindakan sedemikian.

“Saya tidak faham dengan tindakan yang mempersoalkan kredibiliti negara, namun saya tidak boleh yakin bahawa isu (pertikaian Sulu ke Sabah) itu selesai.

“(Bagaimana) satu plaform timbang tara komersial boleh menjadi forum yang betul (untuk menyelesaikan pertikaian sedemikian).

“Ia tidak masuk akal (kerana) ia ditetapkan di Sepanyol, kemudian seseorang memutuskan ia dibawa ke Paris dan kemudian ke Luxembourg. Ada banyak persoalan daripada jawapan yang boleh saya kongsikan,” katanya dalam laporan eksklusif yang dikeluarkan portal Commercial Dispute Resolution, semalam.

Sebelum ini, BH melaporkan, Malaysia sedang dalam proses mendapatkan pembatalan keputusan akhir tuntutan kumpulan Sulu ke atas Sabah yang dikeluarkan oleh penimbang tara Sepanyol di Mahkamah Rayuan Paris.

Dalam ucaptama pada ‘Kolokium Timbang Tara Antarabangsa London 2023: Kedaulatan dan Kekebalan Negara dalam Timbang Tara Komersial’ di Londont, minggu lalu, Azalina berkata, sebaik pembatalan itu diberi, ia menandakan tuntutan kumpulan Sulu akan ditamatkan berikutan asas tuntutan tidak lagi wujud.

Jun lalu, keputusan Mahkamah Rayuan Paris menolak penguatkuasaan ‘partial award’ Kumpulan Sulu memberi kemenangan muktamad kepada Malaysia untuk menegakkan kedaulatan negara ini.

Berikutan itu, Mahkamah Rayuan Paris menolak mandat mahkamah timbang tara yang menuntut Malaysia membayar jumlah wang kepada pihak yang menuntut.

Azalina turut menyatakan, walaupun memahami peranan pihak ketiga dalam sesetengah pertikaian, namun ia perlulah bersifat adil

“Kadang-kala orang memerlukan bantuan dan mereka juga tidak mempunyai kapasiti dan saya juga faham, ia ialah perniagaan yang sah.

“Namun dalam kes (pertikaian Sulu), saya tidak mendapat sebarang maklumat daripada pembiaya. Tiada yang mahu berkongsi dan ia tidak adil,” katanya.

Mengulas mengenai timbang tara, Azalina berkata, Malaysia sedang meneliti untuk melaksanakan timbang tara Islam, pada tahun ini.

“Bagaimanapun, langkah ini bukan untuk mengatakan timbang tara sekular berada di luar agenda.

“Kami selesa dengan kebolehan yang kami tawarkan dalam AIAC dan Kerajaan Malaysia. Ini bukan idea yang tidak pasti tetapi kita mengembangkan sesuatu yang kita sudah lakukan dan rancangkan dalam beberapa bulan lalu,” katanya. – BHarian

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top