Autonomi Pendidikan, Kesihatan Kepada Sabah, Sarawak Dibincang – TPM

fadilah.jpg

Fadillah dalam sidang akhbar di Kota Kinabalu pada Isnin.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Penurunan sebahagian kuasa bagi bidang pendidikan dan kesihatan kepada kerajaan Sabah dan Sarawak antara perkara yang dibincangkan menerusi Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), lapor Sinar Harian.

Akhbar itu memetik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai berkata, penurunan kuasa itu bukan sepenuhnya tetapi hanya melibatkan pentabiran dan pengurusan membabitkan dua bidang berkenaan.

“Cabaran Sabah dan Sarawak ialah semua perancangan berhubung kait bidang pendidikan dan kesihatan dilaksanakan di ibu pejabat iaitu di Putrajaya termasuklah dari segi pengambilan guru dan pegawai-pegawai kesihatan dan sebagainya.

“Bila tawaran-tawaran ini dibuka, ditemuduga dan jawatan itu diisi, kebanyakannya bila ditawarkan, mereka tidak mahu berpindah atapun tidak mahu bertugas sama ada di Sabah atau Sarawak kerana memikirkan kawasan pedalaman.

“Jadi akhirnya jawatan itu diisi tetapi tidak ada pegawai yang bertugas berkhidmat di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Fadilllah dilaporkan berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Apresiasi Lembaga Koko Malaysia (LKM) 2023 di sini pada Isnin.

Katanya lagi, jika dapat dikembalikan dalam konteks pentadbiran supaya dua bidang itu diserahkan kepada Sabah dan Sarawak, ia sekali gus memberi peluang kepada dua negeri ini menentukan siapa yang akan mengisi kekosongan jawatan berkenaan.

“Itu salah satu pendekatan yang kita sedang bincangkan dan perincikan dan kita sedang menunggu kaedah-kaedah atau terma yang akan dibentangkan oleh kerajaan Sabah dan Sarawak untuk kita perincikan di peringkat persekutuan,” ujarnya.

Selain itu, antara perkara lain yang turut dibincangkan dalam jawatankuasa itu ialah berkaitan kedudukan kerusi di Dewan Rakyat ketika ini.

Menurutnya, dengan jumlah 222 kerusi ketika ini, ia melibatkan pertikaian teknikal antara peguam di peringkat persekutuan dan pandangan antara Sabah dan Sarawak.

“Kita merasakan bila kita membentuk Malaysia dulu, komposisinya ialah lebih kurang, kurang sedikit dua pertiga adalah kerusi-kerusi di tanah Melayu manakala di Sabah, Sarawak dan Singapura lebih daripada satu pertiga.

“Jadi sebab itu kita merasakan semangat daripada waktu itu ialah bila kita tubuhkan Malaysia ini, kita ada perlindungan hak keistimewaan di bawah perlembagaan untuk Sabah dan Sarawak.

“Kalau hak ini dilindungi melalui Parlimen di mana Parlimen boleh membubar peruntukan tersebut dengan dua pertiga undi dan jangkaan kalau berlaku di mana keseluruhan Semenanjung itu berpakat untuk meminda perlembagaan maka ia boleh dipinda tanpa memerlukan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Sabah dan Sarawak mesti secara kolektif melebihi jumlah satu pertiga dalam Dewan Rakyat.

“Dengan itu akan berlaku apa-apa saja perubahan pada struktur perlembagaan yang dipersetujui oleh kepimpinan yang lepas, bila kita menubuhkan Malaysia itu semangatnya masih kekal.

“Ini yang lebih kompleks disebabkan ia pertama sekali memerlukan persetujuan diantara pandangan perundangan antara kerajaan Sabah, Sarawak dan juga Persekutuan.

“Kedua, kalau ada persetujuan itu kita memerlukan sokongan daripada semua ahli Parlimen khususnya dari semenanjung supaya kita akan dapat undi lebih daripada dua pertiga untuk pindakan dan memasukkan peruntukan perlembagaan yang khusus supaya kerusi-kerusi di Parlimen itu lebih sikit daripada satu pertiga mesti diagihkan antara Sabah dan Sarawak,” jelasnya.

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top