SEMPORNA: Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) mematahkan cubaan menyeludup 6,400 petrol di perairan Pulau Omadal, di sini, malam Selasa lepas.
Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata Pasukan Tindak Balas Pantas (Quick Reaction Force, QRF) yang sedang melakukan rondaan, telah mengesan
dua buah bot pancung yang mencurigakan sedang bergerak dari arah Tenggara Pulau Omadal menghala ke sempadan perairan Sabah, kira-kira jam 9.00 malam.
Katanya pasukan QRF berjaya memintas dan menahan bot berkenaan .
“Pemeriksaan awal ke atas kedua-dua bot berkenaan mendapati terdapat lima awak-awak lelaki warga Filipina.
“Tiga daripadanya berada dalam bot pertama manakala dua lagi berada di dalam bot kedua.
“Awak-awak berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah dan berusia dalam lingkungan 34 hingga 62 tahun,” katanya dalam satu kenyataan kelmarin.
Abdul Karim berkata pemeriksaan lanjut mendapati bot pertama membawa 3,600 liter minyak petrol yang diisi dalam 144 tong berkapasiti 25 liter.
Manakala bot kedua membawa 2,800 liter minyak petrol yang diisi dalam 112 tong berkapasiti 25 liter.
Jumlah keseluruhan minyak petrol yang dibawa 2 bot pancung berkenaan adalah 6,400 liter.
Abdul Karim berkata pasukan QRF telah menunda bot berkenaan bersama kesemua awak-awak terbabit ke jeti untuk diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) Zon Maritim Semporna untuk siasatan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki melakukan aktiviti penyeludupan minyak petrol.
Turut dirampas 2 enjin Yamaha 115Hp, 2 enjin Yamaha 40Hp bersama 2 bot dan minyak petrol yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM165,000.