KUDAT: Mengatasi masalah pengangguran adalah salah satu manifesto utama Parti WARISAN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Presiden WARISAN Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, Sabah adalah negeri mempunyai kadar termiskin tertinggi dalam negara dan kerajaan negeri masih tidak mempunyai mekanisma jelas untuk dilaksanakan bagi mengatasi masalah itu.
“Diperingkat pusat juga sudah saya bangkitkan kerana tiada rancangan jelas untuk bagaimana mengatasi masalah kemiskinan di Sabah.
“Tiada rancangan jelas atau khusus dilaksanakan bagi mengatasi masalah ini, terutamanya dalam bentuk pelaksanaan bantuan kepada golongan miskin,” katanya ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa bersama rakyat di Kampung Pangaraban, Kudat semalam.
Mantan Ketua Menteri itu menjelaskan keadaan itu menjadi kebimbangan WARISAN kerana ketika menjadi kerajaan dahulu, satu projek meja diwujudkan iaitu pelabuhan di Kudat.
Katanya, SEDCO mempunyai hampir 600 ekar tanah di sini, lautan Kudat yang dalam serta laluan di sini berdekatan dengan Jepun, Hong Kong dan negara asia yang lain.
“Manfaatnya besar sekiranya kita dapat wujudkan projek itu…saya memberikan jaminan bahawa sekiranya kita berjaya membentuk kerajaan selepas PRN depan, ini akan kita pastikan jadi kenyataan.
“Dalam manifesto kita juga dinyatakan untuk mengatasi masalah pengangguran di Sabah,” katanya.
Katanya, usaha itu juga dapat mengurangkan penghijrahan anak-anak Sabah yang kini hampir 160,000 di Semenanjung Malaysia untuk mencari rezeki.
Menurutnya, walaupun kerajaan negeri pada hari ini menjelaskan mempunyai dana yang besar dan boleh mengatasi masalah berkenaan tetapi isu itu masih berlaku di merata tempat.
“Sudah perintah empat tahun, kalau ini keutamaan mereka kenapa mereka tidak laksanakan.
“Maka dengan itu, kita kerajaan dulu bersedia untuk membina empangan bagi mengatasi masalah air dan elektrik…tidak perlu bimbang mengenai protes sini dan di sana.
“Di Bakun Sarawak dulu turut diprotes sehingga ke UN, tetapi hari ini empangan Bakut telah membawakan hasil lebih 1.2 bilion kepada Wilayah Sarawak,” katanya. – Utusan Borneo