Atasi Masalah Dadah Di Kalangan Pelajar: Jabatan Pendidikan Sabah Jalin Kerjasama Pintar Dengan AADK

jabatan-pendidikan.jpg

Awang Deramat menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta dalam program GTO.

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Jabatan Pendidikan Negeri Sabah menjalin kerjasama pintar dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mencari pendekatan terbaik mengatasi permasalahan dadah dalam kalangan pelajar sekolah di negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Dr. Mistirine Radin, berkata masalah kemerosotan disiplin kini menjadi cabaran utama dalam dunia pendidikan sekali gus memerlukan kerjasama semua pihak untuk mengatasinya.

Katanya, disiplin merupakan satu komponen penting dalam sistem persekolahan berikutan berkait rapat dalam pembinaan akhlak, moral serta tatasusila ke arah melahirkan manusia yang sempurna.

“Masalah disiplin sekolah sering dirujuk sebagai salah laku pelajar, melanggar peraturan atau tingkah laku devian.

“Apa yang lebih membimbangkan peningkatan setiap hari kes penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar sekolah.

“Aktiviti tidak sihat ini bukan sahaja menjejaskan pencapaian akademik malah memberi kesan kepada pembentukan sahsiah dan moral,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Great Teacher Organization (GTO), di sini kelmarin. Teks ucapannya dibacakan Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Hal Ehwal Murid, Awang Deramat Ag Mattiasin.

Turut hadir dalam majlis itu, Dekan Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Mohd Dahlan A. Malek dan Penolong Pengarah Pencegahan AADK Negeri Sabah, Dayang Siti Rohani Sedan.

Dr. Mistirine berkata, pelajar yang bermasalah disiplin di sekolah kebiasanya akan menghadapi prestasi rendah dalam bidang akademik.

“Banyak kajian menunjukkan wujud perkaitan diantara prestasi akademik pelajar dengan ketidakpatuhan terhadap disiplin sekolah.

“Ini meletakkan mereka dalam keadaan berisiko tinggi seterusnya berkembang dan membesar menjadi seorang individu yang kurang berfungsi malah jika tidak dibimbing akan mendatangkan beban kepada keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Dr. Mistirine menambah, masalah penagihan dadah mestilah ditangani secara bersepadu dengan melibatkan semua lapisan masyarakat berikutan kesan penyalahgunaan dadah boleh mengundang kepada masalah jenayah.

“Kita yakin, dengan penglibatan dan komitmen pelbagai pihak secara bersama, usaha ini dapat mengukuhkan momentum sedia ada sekali gus membebaskan semua sekolah daripada permasalahan dadah,” katanya. – Sabah360online

 

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top