Atasi Kekurangan Kemudahan Awam di Lapangan Terbang Tawau

Jimmy-Lai.jpg

Jimmy

Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Kementerian Pengangkutan perlu segera mengatasi kekurangan kemudahan awam di Lapangan Terbang Tawau agar mampu menarik semula pelancong ke Pantai Timur Sabah.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti Liberal Demokratik (LDP) Pusat Jimmy Lai berkata, sektor pelancongan Pantai Timur Sabah menawarkan destinasi yang sangat menarik kepada pelancong.

“Bagaimanapun, kemudahan awam yang disediakan di Lapangan Terbang Tawau sangat mengecewakan kerana tidak dinaik taraf.

“Kekurangan kemudahan sedia ada di lapangan terbang ini mampu memberikan gambaran negatif kepada pelancong domestik dan antarabangsa.

“Ketika pengusaha pelancongan tempatan berusaha untuk memastikan industri pelancongan berkembang semula di Sabah, tetapi kerajaan dilihat tidak berusaha untuk memastikan kemudahan penting di lapangan terbang dijaga baik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, Lapangan Terbang Tawau ketika ini juga menerima penumpang yang melebihi kapasiti sedia ada, sehinggakan ramai dalam kalangan pengguna, pelancong terpaksa berdiri disebabkan kekurangan tempat duduk atau ruangan menunggu.

Jimmy berkata, menteri terbabit perlu turun padang untuk melihat sendiri kemudahan yang mengecewakan di lapangan terbang ini berbanding hanya mengharapkan laporan daripada pegawainya di sini.

Kekurangan kemudahan awam menyebabkan ramai pengguna tidak berada dalam keadaan selesa.

SESAK: Kekurangan kemudahan awam menyebabkan ramai pengguna tidak berada dalam keadaan selesa.

Bagaimanapun katanya, Jimmy sangat menghargai usaha kerajaan menerusi lembaga pelancongan yang sentiasa memperkenalkan destinasi menarik di Sabah kepada masyarakat antarabangsa.

“Tetapi, kemudahan asas perlulah dijaga untuk membolehkan pelancong berkenaan datang semula ke Sabah bersama rakan-rakan mereka. Tepati jangkaan mereka dan jangan biarkan wujudnya tanggapan negatif dalam kalangan pelancong berikutan kelemahan ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut kecewa kerajaan Malaysia masih tidak melaksanakan rancangan pembangunan berkaitan Lapangan Terbang Tawau, walaupun Indonesia sudah memutuskan untuk memindahkan ibu negara mereka ke Kalimantan.

Katanya, usaha segera diperlukan untuk menaik taraf Lapangan Terbang Tawau agar Malaysia, khususnya Sabah mampu menikmati limpahan ekonomi daripada pembangunan Kalimantan. – Utusan Borneo

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top