Atas Semangat ‘Keluarga Malaysia’, Semua Pelajar Berhak Masuk MRSM – Mahdzir

Mahdzir.jpg
Kongsi Bersama

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata dasar pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dikekalkan iaitu tanpa mengira aliran sekolah selaras dengan konsep “Keluarga Malaysia”.

Beliau berkata, semua pelajar tanpa mengira aliran berhak mendapat peluang untuk kemasukan ke MRSM.

Susulan itu, katanya cadangan perubahan diumumkan sebelum ini tidak akan diguna pakai.

“Saya hendak tegaskan bahawa dasar dan syarat kemasukan ke MRSM dikembalikan kepada syarat asal seperti sebelum ini, bagi memberi peluang semua pelajar memohon.

“Kelayakan dan pemilihan pelajar pula akan dibuat berdasarkan Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) yang menguji kecenderungan mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta keperibadian pelajar,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, beberapa pemimpin pembangkang menyuarakan bantahan terhadap syarat baharu kemasukan MRSM yang hanya menerima pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK).

Laman rasmi MRSM bagi kemasukan 2022 sebelum ini antaranya menyatakan kemasukan bagi Tingkatan Satu dan Empat dihadkan kepada permohonan calon dari sekolah-sekolah berkenaan. Ini bermakna ia tidak menerima pelajar dari Sekolah Rendah/Menengah Jenis Kebangsaan, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Menengah Agama Kebangsaan.

Sebelum ini, syarat kemasukan MRSM hanya memerlukan pemohon adalah warganegara Malaysia. Ia juga terbuka kepada pelajar yang bersekolah di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Mahdzir berkata dasar 10% pengambilan pelajar bukan Bumiputera juga kekal dan tiada sebarang perubahan

Beliau turut berterima kasih kepada masyarakat di luar yang memberi pengiktirafan dan sentiasa memandang tinggi sistem pendidikan di MRSM.

Bagaimanapun, beliau berkata MRSM hanya mampu menampung 7,500 pelajar Tingkatan Satu dan 2,000 pelajar Tingkatan Empat bagi setiap sesi pengambilan tahunan.

Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, permohonan yang diterima MRSM bagi sesi kemasukan 2022 adalah 77,834 bagi Tingkatan Satu dan 24,495 bagi Tingkatan Empat.

Mahdzir berkata, kerajaan juga mengekalkan dasar menyediakan kuota 60% kepada pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga B40 bagi mengikuti pendidikan menengah di MRSM.

“Sistem pendidikan MRSM bertujuan membuka peluang pendidikan menengah bagi melahirkan pelajar yang holistik, cemerlang dalam bidang akademik, sains, teknologi dan keusahawanan,” katanya.


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top