Arthur zahir penghargaan atas semua ucapan takziah dan penghormatan terakhir kepada mendiang Tan Sri Joseph Kurup

arthur.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Arthur Joseph Kurup menzahirkan penghargaan kepada semua pihak atas ucapan takziah termasuk mereka yang telah meluangkan masa menziarahi mendiang Tan Sri Joseph Kurup bagi memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang sehingga ke upacara pengebumian.

“Saya mewakili keluarga mendiang merakamkan setinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Ketua Menteri Sabah, Timbalan Ketua Menteri Sabah, pimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah, tokoh dan teman politik, saudara mara, rakan taulan serta kenalan mendiang yang telah mengirimkan utusan takziah termasuk memberi penghormatan terakhir sehingga ke upacara pengebumian.

“Sokongan emosi serta kata-kata semangat yang dititipkan telah banyak membantu memberikan kekuatan kepada kami sekeluarga untuk menempuh tempoh duka, ” katanya dalam satu kenyataan.

Arthur turut merakamkan ucapan penghargaan kepada media atas liputan dalam mengenang mendiang serta liputan berita sepanjang upacara penghormatan terakhir sehingga ke acara pengebumian.

Mengulas lanjut Arthur berkata, dalam lipatan sejarah negara kehilangan seorang permata dan tokoh pemimpin yang tanpa penat menyemai perpaduan dalam kalangan rakyat di Malaysia.

Katanya, mendiang bertekad untuk memastikan perpaduan untuk semua tanpa mengira bangsa dan agama iaitu ‘di mana ada perpaduan, di situ ada kejayaan’.

“Sebagai anak jati Sabah, mendiang merupakan seorang pemimpin yang setia berkhidmat dan sanggup melakukan apa sahaja demi kebajikan dan kesejahteraan wilayah Sabah serta rakyatnya,” katanya.

Arthur berkata, mendiang merupakan pemimpin yang setia kepada perjuangan dan sentiasa dikenali sebagai seorang yang meletakkan keutamaan dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat.

“Ketokohan dan nilai-nilai murni yang ditanam mendiang ketika menjadi Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) menjadi asas kepada ‘Berjuang Untuk Kecemerlangan Rakyat’, ” katanya.

Legasi dan perjuangan mendiang kata Arthur, akan disemat dalam jiwa ahli parti dan menjadi teras panduan kepadanya untuk terus mengemudi dan memimpin parti demi kelangsungan, kesejahteraan dan kecemerlangan rakyat Sabah.

“Bagi kami sekeluarga, kami kehilangan seorang ayah yang amat disayangi, tiang seri yang telah banyak berkorban demi kesejahteraan keluarga.

“Mendiang abadi dalam kenangan kami sebagai seorang bapa yang mempunyai kepimpinan yang tinggi, sentiasa bersemangat dalam melaksanakan apa-apa urusan, mempunyai daya ketahanan yang kuat apabila berhadapan tekanan, insan yang berfikiran jauh serta mempunyai jiwa dan rohani yang sejahtera.

“Seorang ayah yang bertanggungjawab pada dirinya, keluarganya, komunitinya dan negaranya. Semoga ingatan ini akan turut menjadi kenangan kepada seluruh negara khususnya rakyat Sabah, ” kata Ahli Parlimen Pensiangan itu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top