KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali menafikan 17 daripada 21 tuntutan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sudah diselesaikan seperti didakwa pemimpin sebuah parti politik.
Beliau berkata pihak yang membuat dakwaan itu perlu menjelaskan definisi ‘selesai’ yang mereka maksudkan sama ada perkara itu telah selesai dibangkitkan, selesai diutarakan, selesai yang sudah ada persetujuan dasar, atau selesai yang sudah dilaksanakan.
Menurutnya, apa yang dimahukan rakyat Sabah adalah ‘selesai’ dalam konteks perkara-perkara dalam MA63 itu telah dilaksanakan sepenuhnya serta rakyat mendapat faedahnya dan bukan selesai dibangkitkan kepada kerajaan Persekutuan atau dalam status lain yang tidak menguntungkan Sabah.
“Jawapan saya di Parlimen dipetik (pemimpin parti politik itu), sebutkan di mana dalam jawapan bertulis saya itu ada disebut 17 perkara selesai. Saya baca balik jawapan saya, tidak ada disebut 17 perkara sudah selesai,” katanya kepada pemberita selepas menutup Bengkel Penyelarasan Operasi dan Pengurusan Bencana Negeri Sabah, di sini, kelmarin.
Armizan mengulas dakwaan Ketua Penerangan Parti Warisan (Warisan), Datuk Azis Jamman dan Ahli Parlimen Kota Belud, Isnaraissah Munirah Majilis semasa sesi bicara secara langsung di laman sosial Facebook yang mendakwa bahawa beliau (Armizan) ada menyatakan bahawa 17 perkara itu telah selesai semasa sidang Parlimen.
Armizan, yang juga Ahli Parlimen Papar, berkata jawapan beliau itu merujuk kepada soalan Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apda, juga Presiden Warisan, yang bertanya mengenai isu-isu yang dibangkitkan dalam Jawatankuasa Khas Kabinet (JKK) MA63 antara 2018 hingga 2019.
Menurut Armizan. ketika ini terdapat perkara dalam MA63 yang selesai sebahagiannya, antaranya isu elektrik dan gas dan semakan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan mengenai jumlah tuntutan pemberian khas negeri Sabah dan Sarawak.
“Ada juga yang belum selesai tetapi telah mempunyai keputusan dasar, ini yang mungkin dianggap (pemimpin itu) apabila sudah ada keputusan dasar itu, ia selesai. Misalnya, ada keputusan dasar tentang perlu disemak Perkara 112D pemberian khas tetapi belum selesai sepenuhnya kerana bila ada jumlah semakan, apabila dilaksana barulah disebut selesai,” katanya.
Armizan berkata kawal selia elektrik dan gas kepada Sabah pula hanya akan dianggap selesai sepenuhnya apabila kuasa kawal selia itu bermula pada Januari tahun depan, walaupun kuasa kawal selia itu itu telah diterima Sabah pada Januari tahun ini. — BERNAMA