KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Armizan Ali menggesa kerajaan Sabah mendedahkan surat kepada Kementerian Kewangan pada 2019 mengenai kadar pemberian khas kepada negeri itu.
FMT yang memetik laporan Borneo Post melaporkan Armizan berkata, surat itu perlu dinyahklasifikasikan “supaya rakyat Sabah dapat melihat fakta sebenar” mengenai pemberian khas itu.
Katanya, kadar ditawarkan kerajaan Warisan pada 2019 itu “jauh lebih rendah” daripada penyelesaian interim di bawah kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), iaitu bermula dengan kadar RM125 juta setahun pada 2022.
Kadar itu adalah penyelesaian interim terhadap pertikaian berterusan berhubung formula perkongsian pendapatan antara kerajaan persekutuan dan negeri.
Ahli Parlimen Papar itu merupakan timbalan setiausaha agung GRS serta menteri hal ehwal Sabah, Sarawak dan tugas-tugas khas.
Katanya, penyelesaian interim diperoleh GRS tahun lalu itu memberi manfaat langsung kepada rakyat Sabah, antaranya projek perumahan bagi golongan kurang berkemampuan.