MEMBAKUT: Empat buah kampung yang terputus bekalan air graviti akibat kemarau mendapat agihan segera bekalan air bersih, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr Arifin Arif.
Mengulas lanjut, Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, kampung-kampung yang terjejas itu telah menerima agihan bekalan air bersih sejak beberapa minggu lalu.
“Penghantaran bekalan air bersih ini telah diagihkan ke Kampung Tiong Baru, Kampung Poring, Kampung Kiulu Baru dan Kampung Tamalang menggunakan lori tangki air.
“Empat buah kampung ini terjejas selepas bekalan air graviti mereka kering susulan kemarau panjang akibat fenomena El Nino yang melanda ketika ini.
“Agihan bekalan air ke semua kampung ini telah dilaksanakan sejak beberapa minggu lalu dan secara berterusan manakala penghantaran dibuat seminggu sekali.
“Usaha ini juga sebagaimana ditegaskan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor yang mahu bantuan air dilaksanakan walaupun sebelum diisytihar darurat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Program Tinjauan Bekalan Air, dekat sini kelmarin yang turut disertai Pegawai Daerah Membakut, Ibrahim Terki.
Sempena program itu, Arifin telah mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Air (LRA) Membakut dan turut meninjau kerja-kerja pengagihan bekalan air sumbangan beliau di empat buah kampung terjejas itu.
Semasa lawatan ke LRA Membakut Arifin dimaklumkan bahawa loji itu mampu membekalkan 17 juta liter air setiap hari untuk kawasan Membakut termasuk juga Kuala Penyu dan Bongawan.
Menurutnya, daripada jumlah itu sebanyak tiga juta liter bekalan air disalurkan ke Bongawan manakala tiga juta liter ke Kuala Penyu dan selebihnya di beberapa kawasan berdekatan lainnya.
“Ketika ini kita mempunyai 10.5 juta liter simpanan air melibatkan dua buah tangki penyimpanan masing-masing berkapasiti enam juta liter dan 4.5 juta liter,” katanya.- Utusan Borneo