APMM Tawau tahan bot bawa 500 liter petrol tanpa permit

rampas-bot.jpg
Kongsi Bersama

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau berjaya menahan sebuah buah bot penumpang tempatan yang membawa muatan 500 liter bahan api tanpa sebarang permit di sini, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, kejadian berjaya dikesan semasa bot peronda Maritim Malaysia menjalankan operasi khas iaitu Op Pagar Laut dan Op Tiris mengesan sebuah bot penumpang dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, bot berkenaan bergerak laju dari arah Perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik pada pukul 9.40 pagi.

“Semasa bot peronda Maritim Malaysia menghampiri bot itu untuk pemeriksaan, juragan bot bertindak memecut laju ke jeti CIQ Tawau dan bertindak melarikan diri dengan meninggalkan bot dan muatan.

“Pemeriksaan terhadap bot penumpang itu menemukan lebih 20 gelen bahan api jenis petrol dipercayai cuba diseludup keluar tanpa sebarang kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Katanya, bot dan muatan kemudian yang dianggarkan bernilai RM43,000 dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau.

Tambahnya, kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“Modus operandi yang digunakan oleh juragan adalah dengan membawa bahan api terbabit dalam kuantiti yang kecil namun secara berulang.

“Kegiatan ini perlu dibanteras bagi mengelakkan sindiket penyeludupan membawa barang kawalan ke negara jiran.

“Maritim Malaysia akan meneruskan dan mempertingkat penguatkuasaaan dari semasa ke semasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau,” katanya.

Tambahnya, Maritim Malaysia memandang serius segala aktiviti jenayah rentas sempadan dan aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi.

Katanya, sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top