TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan cubaan menyeludup 32 kilogram syabu di perairan Inderasabah, di sini pada Isnin.
Pengarah APMM Tawau Kapten Shahrizan Raman berkata bot peronda APMM telah mengesan sebuah bot yang mencurigakan di 0.2 batu nautika dari Inderasabah sekitar 11.30 malam Isnin.
“Bot peronda APMM memintas bot yang mencurigakan itu sebelum ia memecut ke kawasan air cetek untuk melarikan diri.
“Ketika APMM mengejar bot berkenaan, seorang suspek dilihat membaling sesuatu ke dalam air.
“Selepas kehilangan suspek dalam keadaan gelap, APMM kemudiannya bertindak mengambil barang mencurigakan dari dalam air iaitu sebuah beg yang mengandungi 32 paket bahan kristal dipercayai syabu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Shahrizan berkata dadah itu dibawa balik ke pejabat APMM Tawau untuk siasatan.
32 kilogram syabu yang dirampas itu berharga RM1.76 juta.
Shahrizan berkata, kes itu akan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.