TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan empat lelaki termasuk warga Indonesia kerana melanggar syarat sah lesen bot di dua lokasi perairan di sini semalam menerusi rondaan Op Pluto Timur dan Op Sejahtera.
Pengarah Zon Maritim Tawau Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata di lokasi pertama pihaknya menahan tiga lelaki Indonesia yang menangkap ikan dengan menarik pukat kurang daripada jarak dua batu nautika dari daratan pada 11.30 pagi.
“Tiga lelaki berumur 20 hingga 42 tahun yang mengendalikan bot nelayan itu ditahan di lokasi 1.9 batu nautika barat daya muara Sungai Merotai,“ katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata di lokasi kedua pasukan peronda memeriksa sebuah bot penumpang yang mencurigakan di 2.5 batu nautika selatan Batu 3 Tawau di sini pada 12.15 tengah hari.
“Didapati bot dikendalikan lelaki tempatan berusia 27 tahun itu membawa muatan 250 kilogram bawang bombay dan juragan gagal mengisytihar muatan yang dibawa serta melanggar syarat sah lesen bot penumpang,“ katanya.
Menurutnya nilai rampasan kedua-dua bot dianggarkan RM120,000 dan kesemua tahanan diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM untuk siasatan di bawah Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002, Akta Perikanan 1985, selain Akta Kastam 1967. – BERNAMA