APMM laksana Eksesais Maritim Perkasa TImur di perairan Sabah, Sarawak

APMM.jpg

Gambar hiasan

Kongsi Bersama

KUALA LUMPUR: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan melakukan Eksesais Maritim Perkasa Timur di perairan Sabah dan Sarawak pada Sabtu hingga 3 Nov depan.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan APMM Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata eksesais berkenaan melibatkan 14 kapal milik agensi berkenaan.

Beliau berkata eksesais itu akan menguji keupayaan APMM dalam melaksanakan tanggungjawabnya dalam menjaga keselamatan perairan negara dan memastikan kesejahteraan komuniti maritim tempatan.

“Dalam eksesais berkenaan anggota APMM akan diuji dalam aspek pengendalian kapal laut seperti mengejar penjenayah di laut, situasi kecemasan di laut seperti kapal terbalik dan orang lemas.

“Dalam eksesais itu anggota kami juga akan diuji dalam beberapa situasi yang lain untuk melihat sejauh mana kecekapan anggota APMM dalam menjalankan tugas,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program di Bernama TV semalam.

Dalam pada itu, Mohd Rosli berkata APMM juga giat melakukan eksesais bersama agensi-agensi penguatkuasaan tempatan dan negara jiran berikutan kawasan perairan negara yang luas selain aset yang terhad.

Mohd Rosli berkata tanpa kerjasama erat daripada agensi penguatkuasaan tempatan dan negara jiran usaha mengawasi perairan negara adalah sukar kerana ia bersempadan dengan beberapa negara jiran.

Menurutnya perairan negara melibatkan Selat Melaka dan Laut China Selatan juga merupakan antara laluan perkapalan yang tersibuk di dunia selain menjadi penyumbang dari segi ekonomi melalui sektor perikanan, pelancongan serta petroleum dan gas.

“Antara cabaran yang kami hadapi adalah melibatkan jenayah rentas sempadan membabitkan penyeludupan dadah, rokok dan barangan bersubsidi malahan penyeludupan manusia selain isu pencerobohan nelayan asing,” katanya.

Sementara itu, dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL), beliau menasihatkan komuniti maritim tempatan untuk mengambil langkah berjaga-jaga ketika turun ke laut yang diramal bermula lebih awal tahun ini iaitu November hingga Mac 2024.

Menurutnya ketika musim monsun itu pihaknya menerima banyak panggilan berhubung kecemasan di laut.

“Bagi mereka yang ingin melakukan aktiviti di laut pastikan memakai jaket keselamatan dan jika berkemampuan belilah ‘Pengesan Lokasi Individu (PLB) kerana ia akan memudahkan APMM mengesan lokasi kejadian kecemasan berkenaan,” katanya.– BERNAMA

 

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top