APMM Gagalkan Dua Cubaan Seludup Petrol di Semporna

bot-seludup-petrol.jpg

Salah sebuah bot laju yang dirampas APMM di perairan Semporna.

Kongsi Bersama

SEMPORNA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menggagalkan dua cubaan menyeludup keluar petrol bersubsidi di perairan Semporna awal pagi Ahad.

Pengarah APMM Semporna Komander Norrimi Hassan berkata kedua-dua percubaan dilakukan di dua lokasi berbeza antara 2.30 pagi dan 3 pagi semalam.

“Percubaan pertama dilakukan di 2.4 batu nautika dari Terumbu Pasalat di Semporna apabila sebuah kapal APMM ternampak bot yang mencurigakan sekitar 2.30 pagi.

“Pasukan penguat kuasa segera memintas bot berkenaan tetapi suspek berjaya terjun ke dalam air, meninggalkan bot dan 625 liter petrol bersubsidi di dalamnya.

“Percubaan kedua ialah di 1.1 batu nautika dari Tanjung Panto-Panto di Semporna apabila sebuah lagi kapal peronda APMM ternampak bot yang mencurigakan sejurus sebelum jam 3 pagi.

“Pasukan APMM segera mengejar bot berkenaan namun suspek turut terjun ke dalam air dan berenang ke pantai.

“Pemeriksaan pada bot kedua juga menemui 625 liter petrol bersubsidi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Norrimi berkata, 1,250 liter petrol dan dua bot laju bernilai RM23,000 dirampas.

Siasatan mendapati petrol itu akan diseludup ke negara jiran, kata Norrimi, sambil menambah bahawa kes itu akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top