APMM gagalkan cubaan ‘seludup’ kerbau dari Sabah ke Lawas

seludup-kerbau.jpg

Bot penumpang membawa muatan lima ekor kerbau dari Sabah untuk ke Lawas, yang ditahan bersama seorang tekong dan dua awak-awak oleh APMM. (Kredit foto: Maritim Malaysia/HMetro)

KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam menahan tiga lelaki yang cuba mengangkut lima ekor kerbau menggunakan bot penumpang dari negeri ini ke Lawas, Limbang, di Sarawak.

Pengarah APMM Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad sebagai berkata, sepasukan anggota APMM menjalankan rondaan di perairan Lawas dalam Op Permai 01/2019 dan Op Tiris 3.0 pada 10.45 pagi.

Menurutnya, mereka mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di kedudukan 3.1 batu nautika di selatan Tanjung Perapat lalu bertindak menahannya.

Hasil pemeriksaan mendapati bot penumpang yang dikendalikan seorang tekong dan dua awak-awak warga tempatan membawa lima ekor kerbau yang diikat.

“Bot disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 9(1) dan (3) Ordinan Kesihatan Awam Veterinar (VPHO) 1999 kerana gagal mengemukakan permit pemindahan haiwan ternakan ke Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut beliau, bot penumpang itu bersama semua kru dan haiwan berkenaan dibawa ke Jeti Pejabat Daerah Lawas dan diserahkan kepada Pegawai Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya, pihaknya sentiasa komited dalam menguatkuasakan undang-undang dan tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top