SANDAKAN: Sebanyak 5,496 lokasi titik panas banjir di seluruh negara dikenal pasti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM, Dr Norhafifi Ismail berkata, susulan itu pelbagai persediaan dilakukan termasuk memberikan latihan kepada komuniti setempat.
Menurutnya, ia merangkumi tugas-tugas bagaimana untuk bertindak sekiranya berlaku bencana banjir di kawasan mereka.
“Kalau ikutkan dari segi nasionalnya sebanyak 5,496 kawasan titik panas yang sudah pun kita kenal pasti.
“Biasanya kawasan-kawasan ini sudah pun kita berikan perhatian dan tumpuan dengan melatih komuniti setempat di sana bagaimana untuk bertindak sekiranya berlaku bencana banjir di kawasan mereka,” katanya dalam sidang media sempena Majlis Penghargaan Petugas Barisan Hadapan Angakatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Sabah, di Sandakan, pada Khamis.
Pasukan Respon Kecemasan Jabatan Awam (CDERT) itu akan memberi tumpuan dan latihan kepada komuniti setempat.
“Perumahan contohnya, kita ada tubuhkan CDERT agar mereka bertindak dan tahu apa nak buat jika berlaku bencana seperti banjir.
Terdahulu, dalam majlis itu, lapan Pegawai Bersekutu diberikan kenaikan pangkat, 98 anggota APM turut dinaikkan pangkat dan 56 anggota APM lagi diberikan pingat selepas memberikan komitmen yang baik sepanjang pandemik Covid-19.