KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah, Datuk James Ratib memberi amaran kepada kakitangan jabatan kerajaan Persekutuan dan negeri ini supaya tidak melengah-lengahkan tugas dalam menyediakan kemudahan untuk rakyat di Sabah.
Menurut Sinar Harian, James memberikan amaran tegas itu susulan daripada isu pewartaan tanah bagi pembinaan klinik kesihatan di negeri ini yang tidak dimohon sejak 30 tahun lalu termasuk membabitkan sebuah klinik yang terbakar baru-baru ini di Beluran.
“Baru-baru ini saya melawat Klinik Kesihatan Tangkarason yang terbakar dan kita telahpun mengambil tindakan iaitu akan terus membina klinik baharu bagi menggantikan klinik kayu yang musnah itu.
“Bagaimanapun, apa yang menjadi penghalang kepada kita ialah tanah tersebut belum lagi dimohon oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu belum dimohon untuk pewartaan oleh Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) mengikut rekod daripada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Beluran,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di Wisma Tun Fuad Stephen, pada Isnin.
James yang merupakan Exco Kesihatan Sabah berkata, apabila tiba masanya untuk proses membina bangunan baharu ia tidak dapat dilaksanakan disebabkan isu pewartaan tanah yang berlarutan sejak puluhan tahun lalu.
“Ini merupakan satu perkara yang amat menyedihkan, bayangkan klinik sudah berusia lebih 30 tahun dibina tetapi belumpun dimohon oleh KKM melalui PTP, jadi saya mahu tahu apa peranan pesuruhjaya ini di Sabah?
“Apakah mereka ini makan gaji buta, apakah mereka ini hanya ambil gaji dan tidak mahu bekerja.
“Itu baru Klinik Kesihatan Tangkarason, begitu juga klinik di Mansiad di Sook di mana tanah tersebut telah dimohon sejak 1979 tetapi baru-baru ini apabila kita bawa dalam mesyuarat bersama JTU, tanah tersebut baru dikeluarkan tawaran dan Klinik Kesihatan Mansiad tidak dapat dibina sebelum ini kerana tanah belum tersedia,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu kakitangan kerajaan supaya memahami peranan mereka dan seterusnya melakukan tugas yang diberikan.
“Saya minta PTP yang bertanggungjawab ke atas tanah-tanah ini supaya dapat mewartakan tanah tersebut, jangan duduk diam-diam.
“Ini tidak baik untuk Sabah. Kalau mereka tidak mahu bekerja, beri pada orang lain jangan susahkan rakyat, jangan susahkan kerajaan.
“Saya selaku menteri cukup marah sebab bukan itu saja beberapa klinik lagi tidak dapat dibina kerana masalah tanah ini,” katanya. – SINAR HARIAN