Apa Masalah Kalau Saya Sokong PM, Kerajaan? – Tajuddin

tajuddin.jpg
Kongsi Bersama

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman meramalkan usaha parti itu untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri akan menemui “jalan buntu” kerana semua Ahli Parlimen termasuk Jemaah Menteri dari Umno sepakat menyokong Presiden Bersatu itu.

Beliau berkata, sokongan wakil rakyat Umno terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak dilihat sebagai satu kesalahan atau melanggar keputusan Perhimpunan Agung Umno (PAU) Mac lalu yang tidak pernah menyebut untuk menarik sokongan kepada Muhyiddin.

“Saya sokong Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob), sokong Perdana Menteri, sokong kerajaan. Ada apa masalah? Saya memang sokong.

“Sebab kita dah buat keputusan, semua patuh pada keputusan PAU, Umno kata kita kekal bersama kerajaan PN sehingga pilihan raya akan datang. Selagi belum PRU, kita sokonglah,” katanya kepada FMT.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, parti juga sudah memberi kebebasan kepada Ahli Parlimen Umno untuk menggunakan budi bicara apabila berlaku pengundian di Dewan Rakyat.

“Tidak ada kesalahan yang mereka lakukan. MKT juga beri mereka (Ahli Parlimen Umno) kebebasan untuk buat keputusan sama ada menyokong atau tidak buat masa ini. Jadi apa masalahnya?,” soal Tajuddin yang juga tidak menolak kemungkinan berlakunya “keajaiban” pada masa depan.

Beliau mengulas kenyataan bersama Jemaah Menteri yang sebulat suara kekal menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin di sebalik tindakan Umno menarik balik sokongan kepada Perdana Menteri.

Dalam pada itu, Tajuddin juga mendesak Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya melupakan “hasrat” untuk terus mendesak Muhyiddin berundur kerana waktu “itu” akan tiba akhirnya.

“Dia nak ugut? Apa nak ugut? Bagi saya tak perlu nak ugut, kita ikut sajalah keputusan parti. Sampai masa baru kita buat keputusan nak tarik (sokongan), sampai dah ada PRU, Parlimen dah dibubarkan,” katanya.

Umno ketika ini mempunyai 38 Ahli Parlimen dengan 16 daripadanya menyandang jawatan menteri atau timbalan menteri.

Bakinya seramai 21 adalah Ahli Parlimen biasa, manakala seorang lagi menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Khamis lalu, Umno memutuskan untuk menamatkan sokongannya kepada Muhyiddin dan mendesak beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri dengan segera atas tujuh “kegagalan” termasuk pengurusan lemah kerajaan pimpinannya dalam menangani pandemik Covid-19.

Keputusan MKT Umno itu, yang diumumkan presiden parti, setakat ini tidak memberi kesan kepada kedudukan anggota Jemaah Menteri parti itu, termasuk Ismail Sabri yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri minggu lalu.

Polemik mengenai sokongan Umno kepada Muhyiddin mencetuskan perbalahan dalaman parti itu dengan beberapa pemimpin lantang menolak keputusan MKT. – FMT


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top