KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yakin Pakatan Harapan (PH) mampu mendapat majoriti mudah dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun gabungan itu terpaksa menghadapi pertembungan pelbagai penjuru.
Katanya, beliau sudah ada di lapangan dan mengakui PH menghadapi persaingan yang sengit pada pilihan raya ini.
“Saya berada di lapangan dan terdapat persaingan yang sengit. Namun kita boleh bergerak dengan lebih jauh ke kawasan pedalaman dalam usaha mendapatkan majoriti mudah,” katanya dalam wawancara bersama Bloomberg, hari ini.
Anwar berkata, PH yang dipimpinnya akan menumpukan kepada usaha membanteras rasuah serta menerajui negara dengan jumlah pentadbiran yang lebih kecil dan tidak akan menumpukan kepada konglomerat.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan PRU15 mencatatkan sejarah apabila merekodkan seramai 945 calon disahkan layak bertanding untuk merebut keseluruhan 222 kerusi Parlimen, sekaligus menjadi yang teramai dalam sejarah PRU di Malaysia.
Berdasarkan data yang dipaparkan di Pusat Media, ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seramai 441 calon akan bersaing di 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Pahang, Perlis dan kerusi N66 Bugaya, Sabah.
Bagi kerusi Parlimen, PH mempertaruhkan paling ramai calon membabitkan seramai 206 orang, diikuti Barisan Nasional (BN) (178), Perikatan Nasional (PN) (149) dan PEJUANG (116).
Parti Warisan Sabah (WARISAN) meletakkan 52 calon, Gabungan Parti Sarawak (31), PAS (22), Parti Rakyat Malaysia (16), Gabungan Rakyat Sabah (13), Parti Sarawak Bersatu (10), Putra (sembilan), DAP (lapan), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (tujuh), MUDA (enam), Parti Bangsa Malaysia (lima) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (tiga). – BHarian