Anwar ‘Terkena’ Lagi?

anwar-tun-M.jpg
Kongsi Bersama

Perkembangan mutakhir menunjukkan Datuk Seri Ismail Sabri hampir pasti menerima sokongan daripada 114 ahli parlimen dalam persaingan menduduki kerusi perdana menteri.

Ini bermakna beliau ‘kehilangan’ satu sokongan kerana pada peringkat awal calon dari UMNO itu dilaporkan disokong oleh 115 ahli parlimen, termasuk 15 ahli parlimen UMNO yang menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga menyebabkan beliau hilang majoriti dan terpaksa melepaskan jawatan.

Dipercayai ahli parlimen yang tidak menyokong Ismail Sabri itu ialah Tengku Razaleigh Hamzah, veteran UMNO yang mewakili parlimen Gua Musang. Ini kerana nama beliau tidak berada dalam senarai 114 ahli parlimen yang menyokong Ismail Sabri yang dititahkan menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini bagi mengesahkan sokongan mereka.

Persoalan yang menarik perhatian umum sekarang ialah berapakah sokongan yang diperoleh oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim? Hanya Yang di-Pertuan Agong yang tahu,

Walau bagaimanapun laporan-laporan awal menyebut Anwar menerima sokongan tidak berbelah bagi daripada ahli-ahli parlimen pembangkang.

Laporan Malaysiakini menyebut, pelbagai sumber mengesahkan bahawa selain 88 ahli parlimen Pakatan Harapan, Anwar mendapat sokongan daripada Warisan, Pejuang, Parti Sarawak Bersatu, dan dua wakil rakyat Bebas. Ini menjadikan jumlahnya 105.

Tetapi dalam satu forum secara langsung anjuran Bernama malam tadi pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan partinya tidak berminat (untuk menyokong) mana-mana kumpulan dalam persaingan mengisi kerusi perdana menteri itu.

“Kami (Pejuang) mendapati bahawa kedua-dua gabungan tidak menarik, itulah sebabnya kami menjarakkan diri dari awal. Kami adalah kuasa ketiga’, kami boleh menyokong kedua-dua belah pihak, tetapi buat masa ini, kami tidak bekerjasama dengan mereka, ” begitulah antara lain kata Tun Mahathir dalam forum tersebut.

Kenyataan itu memberi gambaran bahawa Pejuang berkecuali. Ia sekali gus menafikan sangkaan awal bahawa parti itu menyokong Anwar, dan ini membayangkan kemungkinan angka 105 sokongan yang diwar-warkan oleh blok pembangkang itu tidak tepat kerana jika benar Pejuang berkecuali, kedudukannya akan menjadi 105 – 4. Itu pun jika tidak ada lagi di kalangan ahli parlimen pembangkang berkecuali atau menamakan orang lain selain Anwar dan Ismail Sabri.

Dan kerana berdasarkan kenyataan Tun M, Pejuang memang berkecuali, maka adakah Anwar dah terkena sekali lagi? Wallahu a’lam.

 

Oleh: Tulus Budiman

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top