SHAH ALAM: Seorang penganalisis ekonomi berpendapat gelaran ‘Harimau Asia’ yang pernah disandang Malaysia pada suatu ketika dijangka mampu dibawa kembali di bawah Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Prof Saadiah Mohamad dari Universiti Selangor (Unisel) berkata, ini kerana kepimpinan Ahli Parlimen Tambun itu mendapat reaksi positif dari seluruh masyarakat sama ada dalam kalangan tempatan atau antarabangsa.
Ujar beliau, perkara tersebut sekali gus dapat memberikan keyakinan kepada pelabur luar dalam merancakkan sektor ekonomi negara.
“Saya rasa Anwar ada cerita yang sangat menarik, kita lihat apabila dia dilantik sebagai Perdana Menteri, beliau mendapat ucapan tahniah yang mencurah-curah, ia sedikit sebanyak dapat menarik perhatian dunia dan dapat mengembalikan keyakinan masyarakat dunia dan pelabur terhadap negara.
“Saya juga berasa lebih positif kerana pada masa yang sama, faktor itu ditambah dengan perkembangan ekonomi di negara jiran, Indonesia semakin bagus sehingga diunjurkan sebagai negara ekonomi besar pada 2030 dan kita akan dapat manfaat daripada itu.
“Kita pula ada Perdana Menteri seperti Anwar, jadi saya kira negara kita akan berada dalam satu rantau negara Asia yang mempunyai ekonomi rancak, kita boleh jadi ‘Harimau Asia’ kembali seperti zaman kebangkitan Asia dahulu,” katanya dalam Program Wacana Sinar Edisi 374 bertajuk ‘Ekonomi Malaysia di tangan Anwar’ yang dihoskan oleh Azlan Shah Nabees Khan.
Turut bergandingan bersama beliau sebagai panelis adalah Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Yahya Sahri dan Presiden Youth Front Party, Datuk Razalif Mohamad Zain.
Pada masa yang sama, Saadiah menambah, kerajaan disaran untuk mengkaji Bajet 2023 sebelum dibentangkan pada Februari tahun depan.
Jelas beliau, ia sebagai usaha bagi memastikan agenda reformasi dalam ekonomi negara terlaksana.
“Antara yang boleh diberi perhatian adalah seperti daripada segi subsidi bersasar dan percukaian.
“Perkara ini penting, kerana kalau dilihat dalam negara ini, kita ada sebilangan golongan yang cukup kaya, jadi dengan usaha mereformasikan sistem percukaian ini, kekayaan mereka itu dapat disumbangkan kepada mereka yang di bawah terutama golongan berpendapatan rendah (B40),” ujarnya.
Berita asal: Sinar Harian