Anwar mahu laporan penuh peruntukan RM3 juta masalah air UMS

DSAI-1.jpg
Kongsi Bersama

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu satu laporan penuh berhubung peruntukan dan pelaksanaan bagi menyelesaikan isu bekalan air di Universiti Malaysia Sabah (UMS) seperti dibangkitkan tahun lalu.

Anwar berkata, beliau pernah meluluskan peruntukan sebanyak RM3 juta kepada UMS bagi tujuan berkenaan pada Mei tahun lalu.

“Saya tidak ingat bila saya pergi ke UMS tapi saya dengar keresahan mereka (pelajar). Saya minta kepastian daripada Naib Canselor dan saya luluskan. Jadi saya tidak mengerti (kenapa isu belum selesai) tapi mungkin projek itu mengambil masa.

“Jadi saya nak minta laporan penuh dan apa jadi sejak Menteri Kewangan luluskan peruntukan segera RM3 juta bagi menyelesaikan masalah air di universiti berkenaan,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada peruntukan RM2 juta yang diumumkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir ketik melawat universiti itu baru-baru ini.

Sebelum ini, Zambry memaklumkan, peruntukan berkenaan adalah untuk penyelesaian jangka pendek dan panjang agar masalah bekalan air di universiti itu boleh diatasi segera.

Ketika lawatan itu, Zambry disambut oleh pelajar universiti itu dengan lagu dengan lirik antara lain berbunyi ‘kami belum mandi’ selain turut memegang pelbagai plakad, termasuk yang bertulis “Air Ma(na)dani?”.

Pada masa sama, Anwar turut mengarahkan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican untuk mendapatkan maklumat lanjut daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berhubung peruntukan RM3 juta itu.

“Mungkin KSP boleh tanya KSU kementerian berkenaan dan mungkin Pantau Madani boleh bantu untuk bertanyakan apa yang berlaku sejak kelulusan RM3 juta serta tindakan yang diambil oleh KPT dan universiti untuk melaksanakan.

“Pada sebahagian orang perkara kecil tapi kalau mahasiswa menghadapi masalah bekalan air itu patut meresahkan kita,” katanya.

Media melaporkan, peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta oleh KPT itu akan digunakan untuk memasang pam air dan melibatkan pakar mencari sumber air alternatif bagi penyelesaian jangka panjang.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top