KOTA KINABALU: Krisis dalaman PKR Sabah akan diselesaikan oleh presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.
Naib Presiden PKR, Awang Husaini Sahari berkata, kemelut yang berpunca daripada rasa tidak puas hari 15 daripada 26 ketua cabang PKR Sabah terhadap Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Datuk Dr Sangkar Rasam telah dibincangkan oleh biro politik parti itu di Kuala Lumpur pada Ahad.
“Sangkar kekal sebagai pengerusi PKR Sabah. Anwar akan datang ke Sabah untuk membincangkan penyelesaian terbaik bagi mengatasi kemelut semasa yang dihadapi,” kata Awang Husaini.
Bekas ahli parlimen Putatan itu menyeru kepada semua ketua cabang dan ahli PKR Sabah agar bersabar dan mengelakkan penglibatan media secara terbuka bagi memberikan ruang yang secukupnya kepada presiden untuk mencari formula terbaik menyelesaikan pergolakan kepimpinan MPN Sabah.
“Apa pun keputusan presiden, semua ahli PKR perlu menerimanya dan segera bersatu demi parti.
“Pilihan raya negeri Sabah ke-17 semakin hampir, dan kita tidak mampu untuk berpecah belah,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Pada 18 Mac, 15 daripada 26 ketua bahagian negeri, termasuk ketua bahagian Kota Belud Datuk Mustapha Sakmud (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi), ketua bahagian Api Api Datuk Christina Liew (Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah) dan ketua bahagian Sepanggar Peto Galim ( Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri) menggesa Sangkar berundur.
Mereka juga menandatangani akuan berkanun yang menyatakan bahawa mereka telah hilang keyakinan terhadap kepimpinannya.
Sangkar menegaskan beliau tidak akan meletak jawatan dan mendapatkan sokongan daripada beberapa pemimpin utama parti di negeri ini,
Awang Husaini berkata pelantikan pengerusi PKR Sabah pada 2022 dilakukan atas prerogatif presiden selepas berunding dengan ketua bahagian negeri.
Justeru, katanya, afidavit tidak boleh digunakan untuk mencabar kesahihan pelantikan Sangkar.
“(Mereka) tidak boleh begitu sahaja menyingkirkan Sangkar… sebagai pengerusi PKR Sabah,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Awang Husaini berkata, jika angka 15 SD oleh ketua-ketua cabang berkenaan adalah sahih dan konsisten, ia merupakan satu elemen yang tidak baik bagi Sangkar untuk terus memimpin PKR negeri.
“Angka 15 ini merupakan lebih separuh daripada 26 jumlah ketua-ketua cabang di Sabah.
“Tanpa kepimpinan perintah dan kawal beliau tentunya sukar untuk membuat keputusan secara konsensus, apatah lagi untuk memberi arahan kepada akar umbi hala tuju organisasi politik besar yang beliau pimpin,” katanya.
Awang Husaini berkata PKR Sabah perlu diperkukuhkan sebelum pilihan raya negeri, yang penting memandangkan presiden parti itu kini menjadi Perdana Menteri.
“Memenangi pilihan raya Sabah, sama ada Pakatan bertanding secara bersendirian atau bekerjasama dengan parti lain, bukan sahaja matlamat utama, malah kemenangan akan menjadi pengesahan kepimpinan pusat di bawah Anwar,” katanya.
“Saya yakin presiden parti akan meneliti kemelut ini dari semua sudut. Kepentingan parti dan persiapan PKR Sabah untuk pilihan raya sudah tentu menjadi pertimbangan utama,” katanya.
Beliau berkata PKR mempunyai peranan penting dalam memastikan Pakatan Harapan kekal relevan di Sabah dan senario politik negara.