Anwar Janji Lepas Jawatan Jika Gagal Tumbangkan PN, Kata Pemuda Amanah Bukit Bintang

amanah-and-anwar.jpg
Kongsi Bersama

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Amanah Bukit Bintang, Sheikh Khuzaifah Bawazeer (gambar, kiri) mendakwa Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan melepaskan jawatannya sebagai pengerusi Pakatan Harapan (PH) jika gagal menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam tempoh 7 hari selepas pembentangan Belanjawan 2021.

Bagaimanapun katanya, ciapan yang merujuk kepada kenyataan itu sudah pun dipadam oleh beliau selepas semakan dibuat di akaun Twitternya malam semalam.

Kenyataan mengenai Anwar berjanji untuk meletak jawatan sebagai pengerusi PH itu adalah antara 6 fakta yang disenaraikan pemuda Amanah terhadap Anwar.

Khuzaifah berkata, terlalu banyak perkara yang cuba disembunyikan untuk memperbodohkan pengundi dan ahli mengenai keadaan yang berlaku ketika sesi pengundian belanjawan pada Khamis.

Beliau berkata, ia kerana belanjawan semata-mata kerana jika PH Plus mengambil alih kerajaan, belanjawan berkenaan tetap akan dibentangkan semula oleh kerajaan baharu.

“Ia bukanlah kerana belanjawan. Kita dijanjikan setelah cubaan membawa akuan bersumpah (SD) gagal, kerajaan PN akan dijatuhkan melalui undian belanjawan.

“Arahan ketua pembangkang untuk tidak undi belah bahagi dikeluarkan tiba-tiba tanpa perbincangan selepas Ahli Parlimen Pokok Sena (Mahfuz Omar-Amanah) bangun membuat usul.

“Kota Raja (Mohamad Sabu-Amanah) dan Pulai (Salahuddin Ayub-Amanah) yang telah bangun, dipaksa duduk kembali.

“Ahli Parlimen Amanah yang lain gagal dihalang untuk bangun,” jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketua pembangkang itu sekali lagi menyukarkan rakan-rakan pembangkang sama seperti ketika beliau memutuskan untuk berunding dengan “kumpulan lanun”, dipercayai merujuk kepada Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Beliau hanya boleh kata, jangan risau… saya ada SD. Muhyiddin sudah habis,” dalam mesyuarat PH selepas persidangan Dewan Rakyat kelmarin, katanya.

Sheikh Khuzaifah mendakwa, dalam mesyuarat itu semua pihak bersetuju untuk menunggu tempoh 7 hari seperti yang dijanjikan oleh presiden PKR itu dengan perbincangan tertumpu kepada cara untuk menjelaskan insiden di Dewan Rakyat kepada ahli parti masing-masing.

“Naratif yang dipersetujui adalah hanya tolak sebahagian belanjawan, lawan di pengundian jawatankuasa, tidak tolak dasar demi rakyat , walhal semua ini tidak pernah jadi isu,” katanya.

Dalam kenyataan semalam, Anwar mendedahkan pemimpin PH, Lim Guan Eng dan Mohamad Sabu mahu undi belah bahagi dibuat terhadap Belanjawan 2021, namun beliau meminta tidak berbuat demikian.

Anwar berkata, langkah itu supaya Ahli Parlimen dapat meneliti secara terperinci dan mendalam keseluruhan pengumuman menteri kewangan.

Katanya, masih wujud peluang bagi pembangkang menyatakan pendirian tegas, termasuk melalui undian belah bahagi di peringkat jawatankuasa pada minggu akan datang. – Sumber: FMT

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top