Anwar Harus Hormati Keputusan PH, Tidak Menerima Kerjasama Dengan Zahid, Najib – Syed Husin

Dr-Syed-Husin-Ali.jpg
Kongsi Bersama

Pengasas bersama PKR, Dr Syed Husin Ali percaya presiden parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mematuhi keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk tidak bekerjasama dengan anggota parlimen Umno yang berhadapan kes rasuah di mahkamah, dalam usaha membentuk kerajaan baharu.

Ini berikutan kebimbangan bahawa Anwar mengadakan perjanjian dengan anggota parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak, yang telah disabitkan bersalah atas kes penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Sebelum ini terdapat laporan bahawa Najib bersama Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi – yang juga menghadapi kes di mahkamah – telah menulis surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan kepada Anwar.

“PH tak menerima, saya tak kata takkan terima, saya kata tak menerima bekerjasama dengan Najib dan Zahid. Anwar sebagai pengerusi PH harus hormati keputusan PH,” kata Syed Husin kepada Malaysiakini.

Syed Husin berkata, Pakatan Harapan (PH), yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah telah memutuskan bahawa sebarang pembentukan kerajaan baharu tidak akan melibatkan anggota parlimen Umno yang didakwa terlibat kes rasuah.

“Itu keputusan PH. Anwar akan bersama dengan keputusan PH. PH boleh bekerjama dengan Umno secara individu – ahli-ahli umno yang tak semestinya dengan Umno secara keseluruhan,” kata Dr Syed Husin.

Anwar pada 23 Sept lalu mendakwa memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baru.

Beberapa jam selepas pengumuman itu, Zahid mengeluarkan kenyataan yang mengesahkan bahawa terdapat ahli parlimen Umno memberi sokongan kepada Anwar dan parti itu tidak dapat menghalang mereka.

Ini menimbulkan kebimbangan, terutama dalam DAP, jika Anwar bekerjasama dengan Zahid yang menghadapi 47 tuduhan pengubahan wang haram, rasuah dan pecah amanah di mahkamah.

Anwar setakat ini belum mendedahkan senarai nama anggota parlimen yang didakwa menyokongnya tetapi telah mempersembahkan dokumen sokongan kepada Yang Di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Seri Paduka tidak akan memanggil mana-mana pemimpin parti untuk mengesahkan dakwaan tersebut sehingga tamat perintah kawalan pergerakan bersyarat (MCO) yang berakhir pada 27 Oktober.

PKPB dilaksanakan semula setelah berlaku lonjakan kes Covid-19.

Semalam, MalaysiaNow melaporkan bahawa Najib dan Zahid telah menyampaikan surat kepada Seri Paduka bagi menunjukkan sokongan kepada Anwar.

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin dipetik Astro Awani bagaimanapun menafikan surat berkenaan dan menyebutnya sebagai “spekulasi” semata-mata.

Ini berlaku di tengah rasa tidak puas hati pimpinan Umno terhadap Bersatu, yang mendakwa parti itu diketepikan dalam kerajaan.

Umno baru-baru ini mempertimbangkan untuk menarik diri daripada menyokong Perikatan Nasional (PN) dan sebaliknya memberikan syarat baru kepada gabungan itu bagi meneruskan kerjasama politik.

Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin memiliki majoriti tipis dengan hanya memperoleh 113 sokongan ahli parlimen daripada jumlah keseluruhan 222 anggota parlimen.

Semalam, Muhyiddin dilapor meminta Umno memperincikan syarat baru mengenai kerjasama politik dengan PN dalam usaha menyelamatkan gabungan itu.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top