Anwar Gagal, Jejaskan Kredibiliti PH, Kata Pemuda DAP Sabah

phoong.jpg
Kongsi Bersama

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan semakin bergolak dengan pemimpin pembangkang semakin lantang menggesa Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berundur demi kebaikan gabungan itu.

Ketua Pemuda DAP Sabah, Phoong Jin Zhe berkata Anwar gagal menunaikan janji untuk menubuhkan kerajaan baharu , sekali gus menjejaskan kredibiliti PH.

Phoong yang juga ADUN Luyang berkata janji Anwar untuk memperolehi majoriti kuat dan menyakinkan untuk menubuhkan kerajaan baharu tidak berhasil.

“Janji (Anwar) bahawa beliau mempunyai majoriti kuat dan menyakinkan tidak menjadi manakala cubaan untuk menubuhkan kerjasama dengan UMNO juga disangsi ramai pihak,” kata beliau.

Phoong berkata ramai pihak juga dukacita berikutan kegagalan Anwar memastikan Dewan Rakyat menolak Belanjawan 2021 yang lemah dan tidak mampu membela rakyat.

“Semua ini menghakis keyakinan rakyat terhadap PH. Ketua Pembangkang diejek kerana tidak menunaikan janji,” tambah beliau.

“Jika kita ikhlas mahu membina Malaysia 2.0, kita mesti memperjuangkan politik baharu sekarang,” kata beliau.

Phoong berkata kegagalan PH menyelesaikan kemelut kepimpinan akan menyebabkan pembangkang kehilangan sokongan.

“Pemimpin baharu, dasar baharu, pemikiran baharu (diperlukan),” kata beliau.

Dalam pada itu, presiden UPKO dan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau turut meminta Anwar menghentikan “politik nombornya”, merujuk kepada cubaan Anwar memperolehi sokongan majoriti di Parlimen untu menumbangkan kerajaan Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata PH harus menghentikan politik yang semata-mata memberi fokus kepada menawan Putrajaya kerana akhirnya “yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.’

Pagi semalam, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu menggesa Anwar berhenti membuang masa dengan Ahli Parlimen kerajaan Perikatan Nasional “oportunis” yang memperalatkan mereka.

Dua pemimpin itu dalam kenyataan bersama berkata, PH perlu menghadapi hakikat pembangkang memerlukan anjakan politik baru, susulan kegagalan mereka menghalang belanjawan persekutuan diluluskan.

Presiden Warisan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sebelum ini turut menegaskan pembangkang mempunyai perubahan kepimpinan jika tidak mahu kewibawaan dan sokongannya terjejas di kalangan rakyat. – FMT

 


Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top