KOTA KINABALU: Senarai calon dan kerusi yang ditandingi oleh Pakatan Harapan (PH) di Sabah dijangka akan diumumkan sepenuhnya oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada petang dan malam ini.
Pengumuman itu dijadualkan dibuat di Putatan dan Tuaran. Ia akan melibatkan kelima-lima parti komponen PH iaitu PKR, DAP, AMANAH, UPKO dan rakan kerjasamanya MUDA.
Menurut laporan Bharian, PKR dijangka bertanding 11 kerusi, disusuli DAP tujuh kerusi, manakala satu-satunya parti tempatan dalam PH Sabah iaitu UPKO diberi lima kerusi, diikuti satu kerusi kepada AMANAH.
Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang baru saja melebarkan sayap ke Sabah beberapa bulan lalu turut dijangka mendapat satu kerusi di negeri ini.
Walaupun pengumuman rasmi dijangka dibuat hari ini, namun beberapa kerusi, khususnya yang disandang PH Sabah ketika ini dan bakal ditandingi pemimpin utama parti masing-masing sudahpun diketahui secara tidak rasmi.
Ia termasuk UPKO yang bakal menurunkan bakal Presidennya, Datuk Ewon Benedick di Penampang; Presidennya sekarang, Datuk Madius Tangau bakal mempertahankan kerusi Tuaran, manakala tiga lagi ialah di Kimanis, Beluran dan Libaran, masing-masing bakal diwakili pemimpin muda parti itu.
Menurut laporan itu lagi AMANAH mendapat satu kerusi di Parlimen Sipitang yang bakal ditandingi pengerusinya, Lahirul Latigu, selain turut mewakili PH di Wilayah Persekutuan Labuan.
Sementara itu, DAP sudah mengesahkan tiga kerusi disandangnya iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Tenom bakal dipertahan penyandangnya, masing-masing oleh Chan Foong Hin, Vivian Wong Shir Yee dan Noorita Sual.
Empat kerusi lain yang bakal ditandingi parti itu ialah Keningau, Batu Sapi, Papar dan Lahad Datu, masing-masing diwakili muka baharu.
PKR yang dijangka bertanding di 11 kerusi termasuk dua kerusi disandangnya iaitu Tawau dan Putatan yang masing-masing akan dipertahankan Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew dan Naib Presiden PKR, Awang Hussaini Sahari.
Kerusi lain yang bakal ditandingi PKR di Sabah ialah Beaufort, Pensiangan, Ranau, Sepanggar, Kota Belud, Kudat, Kinabatangan, Semporna, Kalabakan dan Kota Marudu, namun satu daripada kerusi terbabit dijangka diberikan kepada MUDA.