TEMERLOH: Tiga calon Perdana Menteri dari Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) dicadang mengadakan debat secara terbuka sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perbahasan itu perlu memberi tumpuan kepada soal dasar dan perancangan bukan berbentuk tuduhan serta dakwaan.
Katanya, menerusi perdebatan itu, rakyat boleh menilai tentang soal hala tuju dan masa depan negara.
“Saya syorkan dalam PRU15 kali ini, biar perbahasan itu berdasarkan kepada soal dasar dan bukan seperti mana dakwaan komunislah, Yahudilah.
“Calon-calon Perdana Menteri ada perdebatan yang sihat di khalayak umum supaya mereka (rakyat) boleh menilai dasar yang diketengahkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Jelajah PH Pahang di Mentakab, di sini malam tadi.
Untuk PRU15, PH menamakan Anwar sebagai calon Perdana Menteri mereka, PN (Tan Sri Muhyiddin Yassin) manakala BN (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob).
Ketika ditanya tentang kedudukan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam PH, Anwar berkata, sudah ada kesepakatan kerjasama pilihan raya antara PH dan Muda.
“Kalau mereka (Muda) berasa keliru, tidak tahu bertanding di mana, saya sendiri pun belum putuskan bertanding di mana,” katanya.
Presiden PKR itu turut berseloroh dengan media dengan bertanya cadangan kerusi Parlimen yang sesuai untuknya pada PRU15.
Seorang wartawan menyatakan kerusi Parlimen Indera Mahkota yang disandang Datuk Seri Saifuddin Abdullah dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), beliau secara berseloroh berkata, ‘idea yang baik’. – UTUSAN