SHAH ALAM: Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah beban atau liabiliti dalam parti, sebaliknya menegaskan bahawa Ahli Parlimen Port Dickson itu merupakan pemimpin terbaik dalam mengemudi parti dan Pakatan Harapan menuju pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Bercakap ketika merasmikan pentas Kongres Pemuda, Saifuddin berkata, Anwar bukan sahaja dikritik parti luar, malah turut berdepan kecaman dari dalam PKR sendiri.
“Sehinggakan pada tahap bukan sahaja (beliau boleh) ditegur, dikritik dan dihentam terbuka oleh lawan, parti-parti sahabat bahkan hari ini pun kritikan terbuka terhadap sosok beliau kencang datangnya dari dalam parti dan oleh pimpinan sendiri.
“Malahan sudah ada ungkapan bahawa presiden PKR adalah beban atau liabiliti terhadap partinya sendiri,” katanya.
Anwar mengekalkan jawatan presidennya bagi sesi 2022-2024 selepas jawatan tersebut tidak dicabar mana-mana pihak.
Beliau juga menang jawatan presiden tanpa bertanding pada 2018 selepas dibebaskan dari penjara, apabila mengambil alih jawatan itu dari timbalan perdana menteri, yang juga isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Saifuddin ketika ditemui pemberita selepas sesi itu berkata dakwaan Anwar merupakan liabiliti kepada PKR timbul sejak 2003, berikutan pemenjaraan bekas timbalan perdana menteri itu.
Ahli Parlimen Kulim Bandar-Baharu turut ditanya siapa pihak yang mengeluarkan kenyataan tersebut bagaimanapun enggan mengulas lanjut sebaliknya berkata “biar dia terhenti disini”.
Terdahulu menerusi ucapannya, Saifuddin turut mengingatkan kepimpinan baharu Pemuda PKR untuk menghormati hierarki pemimpin tertinggi dalam menjamin kebebasan bersuara perlu disulami dengan adab dan disiplin kerana ia mampu memantapkan parti.
“Memahami makna demokrasi, bahawa bukan sekadar memperoleh kuasa melalui suara majoriti malahan mengamalkan demokrasi melalui kepimpinan kolektif dan menghormati perbedaan pandangan…
“Tidak ada seorang pun yang betul sepanjang masa. Tidak ada seorang pun yang berupaya secara bersendirian mengolah dan merangka strategi terbaik untuk parti. Kita perlukan kerjasama berpasukan. Kita perlu mengumpulkan idea semua kekuatan di dalam parti,” katanya.
Pemilihan PKR kali ini menyaksikan Adam Adli Abdul Halim menang jawatan ketua pemuda mengalahkan pencabarnya Fahmi Zainol.
Dalam Kongres Nasional yang berlangsung selama tiga hari di IDCC Shah Alam, PKR akan memutuskan pencalonan bagi pemilihan 20 Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Wanita dan Pemuda. – FMT