KOTA KINABALU: Parti Warisan membidas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke kerana berbohong dalam ucapannya baru-baru ini di 88 Marketplace, Kepayan, berhubung dakwaan bahawa semua Ahli Parlimen DAP telah menunjukkan akaun di mana wang diterima melalui Memorandum Persefahaman ( MOU) dengan kerajaan Ismail Sabri telah dibelanjakan.
Loke juga mengakui ahli parlimen DAP di seluruh negara menerima sejumlah RM160 juta, termasuk Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin.
Calon Parti Warisan untuk Parlimen Kota Kinabalu, Amanda Yeo Yan Yan Yin berkata DAP tidak seharusnya memperkecilkan kebijaksanaan rakyat Sabah.
“Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke terbang jauh dari Kuala Lumpur untuk berbohong kepada rakyat Kota Kinabalu.
“Adakah dia fikir kita orang Sabah bodoh danakan mempercayai apa sahaja yang dia katakan?
“Penyandang Ahli Parlimen Kota Kinabalu DAP, Chan Foong Hin tidak pernah membentangkan akaun bagaimana RM4.3 juta (peruntukan itu) beliau belanjakan.”
“Adalah satu pembohongan terang-terangan untuk mengatakan bahawa Ahli Parlimen DAP telah menunjukkan akaun tersebut.”
“Mana akaun? Tiada siapa di Kota Kinabalu tahu ke mana perginya RM4.3 juta Chan kerana Chan tidak pernah menunjukkan akaunnya!”
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Khamis, Amanda berkata Warisan telah berkali-kali menggesa Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menunjukkan ke mana wang RM4.3 juta itu dibelanjakan, tetapi seruan itu tidak diendahkan PH.
“Siapa yang menerima RM4.3 juta itu? Kontraktor manakah yang dilantik untuk melakukan kerja-kerja Chan Foong Hin? Berapakah bayaran kepada kontraktor? Tiada siapa yang tahu,” katanya.
Amanda mengulangi kepentingan mengundi Parti Warisan untuk memastikan semak dan imbang sehingga ke peringkat teratas, demi menjaga hak Sabah.
“Seandainya Warisan tidak mendedahkan ratusan juta ini pada akhir 2021, tiada siapa yang akan tahu bahawa wang ini wujud.
“Akhirnya selepas setahun genap, pemimpin tertinggi DAP telah mengakui wang yang diterima melalui MOU itu kerana mereka tiada pilihan lain selain menjawab berikutan tekanan orang ramai yang semakin meningkat menjelang hari pengundian.”
“Kini saya menggesa rakyat Kota Kinabalu dan Sabah memberi mandat yang lebih besar kepada Warisan pada PRU15.”
“Jika sedozen ahli parlimen Warisan mempunyai keupayaan untuk mendedahkan perjanjian yang boleh dipersoalkan antara UMNO dan PH, Warisan boleh melakukan lebih banyak lagi dengan mandat yang lebih besar.
“Kita sebagai rakyat Sabah akan dapat meningkatkan tekanan yang lebih besar terhadap hak kita ke atas minyak dan gas Sabah, eksport makanan sejuk beku, lesen industri pelancongan Sabah dan pengambilan buruh asing.
“Ada banyak lagi untuk kita rakyat Sabah tuntut hak kita supaya dikembalikan. Kita tidak perlu mengikut arahan ahli politik Malaysia Barat secara membabi buta,” katanya.
Berita asal: Borneo Today