KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr. P. Ramasamy kononnya beliau tidak ada “courtesy” untuk memaklumkan keputusan untuk tidak menamakan dia sebagai calon DAP pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Menteri Pengangkutan itu akui kesal dengan tindakan Ramasamy yang didakwanya telah berbohong.
“Saya berasa amat kesal dengan tindakan Ramasamy yang sanggup berbohong dalam perkara ini.
“Pembohongan ini menghilangkan semua rasa hormat saya kepada beliau sebagai bekas pensyarah saya,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Anthony malah menganggap Ramasamy menunggang parti demi kedudukan dan jawatan.
“Saya mengulangi bahawa sesiapa sahaja yang meninggalkan parti selepas tidak dicalonkan semula dalam pilihan raya adalah orang yang tidak ikhlas dan setia kepada perjuangan parti.
“Mereka hanya menunggang parti demi kedudukan dan jawatan. Apabila tiada lagi jawatan, parti ditinggalkan,” bidas Ahli Parlimen Seremban itu.
Susulan itu beliau memaklumkan kronologi situasi sebenar yang berlaku yang membawa kepada perkara ini.
“Pada hari Selasa, 25 Julai 2023, saya bersama Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Nga Kor Ming telah pergi ke Pulau Pinang untuk bertemu secara bersemuka dengan setiap penyandang ADUN yang tidak dicalonkan semula dalam PRN kali ini sebelum Majlis Pengumuman Calon DAP pada petang yang sama.
“Pertemuan itu berlangsung di Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang dan turut disertai oleh Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. Nga, Chow dan saya menemui setiap penyandang yang tidak dicalonkan secara berasingan dan saya sendiri memaklumkan keputusan parti kepada mereka dan memberi peluang kepada mereka untuk memberikan pandangan balas.
“Sesi tersebut berlangsung selama lebih satu jam dan menyebabkan saya terlewat dalam majlis pengumuman calon,” jelas beliau.
Terdahulu, Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Prof P Ramasamy ,74, mengumumkan keluar daripada DAP dan melepaskan semua jawatan dalam parti itu secara rasmi hari ini.
Bekas ADUN Perai itu berkata, beliau sudah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook pada 8.24 pagi dan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow jam 8.25 pagi.
Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II, Pulau Pinang, yang digugurkan daripada pencalonan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, berkata keputusan berat itu dibuat selepas kecewa dengan keputusan pimpinan tertinggi parti membuat keputusan berkaitan pemilihan calon PRN.
Sumber: Suara TV