Antara Tangan Ghaib dan Janji Autonomi Yang Tidak Tertunai, Ke Mana Akhirnya GRS?

807411-1.jpg

Dikhabarkan dalam sehari dua ini Ketua Menteri Sabah yang baru, DSP Hajiji Mohd Noor akan mengumumkan barisan kabinetnya.

Ini akan merupakan kali kedua beliau berbuat demikian. Kali pertama pada 28 September lalu, di mana seiring dengan majlis angkat sumpah jawatannya selaku ketua menteri, Hajiji turut mengumumkan pelantikan tiga timbalan ketua menteri dan dua menteri kanan. Mereka berlima turut mengangkat sumpah pada pagi yang sama.

Bagi rakyat jelata, majlis itu kelihatan berjalan elok. Tak Nampak cacat celanya. Tidak siapa tahu ia merupakan tanda-tanda awal kelemahan dan kegagalan Hajiji.

Sejurus berakhirnya majlis angkat sumpah di Istana TYT itu, pecah khabar bahawa Hajiji mengumumkan pertukaran jawatan antara DS Bung Moktar Radin, yang sebelumnya dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri I dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah dengan DSP Masidi Manjun, yang diamanahkan jawatan Menteri Kerja Raya, satu jawatan yang bertaraf menteri kanan.

Dengan pertukaran itu, Bung Moktar selain kekal TKM I, diberi jawatan menteri JKR, manakala Masidi diberi kerusi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Bayangkan, baru sahaja angkat sumpah jawatan, tiba-tiba sudah ada pertukaran jawatan.Kalau itu bukan flip-flop, perkataan apakah yang lebih sesuai digunakan? Perlu diingat yang ditukar itu jawatan menteri – kanan pula tu – bukannya jawatan ahli persatuan kompang.

Kemudian pecah lagi berita, pertukaran jawatan itu dikatakan dibuat oleh Hajiji selepas Bung Moktar ‘mengamuk’. Kata yang empunya berita, Bung yang merupakan ketua UMNO dan ketua BN Sabah naik angin sebab Hajiji,yang mewakili PN, melanggar persetujuan asal perikatan itu dengan BN.

Tidaklah diketahui apa persetujuan yang dimaksudkan. Tetapi ia tentunya berkaitan dengan agihan jawatan dalam kerajaan GRS selepas kemenangan ‘bersama’ dalam PRN lalu. Laporan media membayangkan Hajiji melanggar persetujuan itu, jawatan yang pada mulanya dipersetujui akan diberi kepada UMNO, diberi kepada pihak lain, iaitu partinya sendiri,PPBM.

Tetapi disebabkan Bung bukan budak hingusan yang boleh diperkotak-katikkan, Hajiji akhirnya terpaksa membuat pertukaran jawatan, sekali gus membolehkan Bung mencatat sejarah sebagai menteri perumahan dan kerajaan tempatan Sabah yang paling singkat,manakala Masidi pula menteri kerja raya Sabah yang paling singkat juga.

Walaupun Bung.memberitahu pemberita apa yang terjadi itu cuma.kesilapan komunikasi namun semua orang tahu, memang ada sesuatu yang tidak kena.

Ada yang mendakwa keputusan Hajiji melanggar persetujuan dengan BN itu bukanlah atas kehendaknya sendiri, tetapi atas kemahuan tangan-tangan ghaib yang masih mahu meletakkan Sabah di bawah telunjuk mereka. Tangan-tangan yang kepentingannya seolah-olah tidak pernah habis.

Perkara itu boleh dielak jika Hajiji seorang pemimpin yang kental dan tegas seperti DS Shafie Apdal. Semua orang tahu Shafie karisma kepimpinan yang disegani kawan dan lawan. Silapnya PRN tempoh hari dia tersalah strategi, jika tidak belum tentu BN dan PN merasa nikmat berkuasa di Sabah.

Tetapi satu Sabah tahu Hajiji lebih kurang macam mantan PM kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah). Baik sangat. Lembut sangat. Tapi selembut-lembut Pak Lah, berani juga dia membantah kehendak Tun Mahathir yang pernah menjadi bosnya apabila mantan keempat itu (dan kemudiannya ke tujuh) cuba mencampuri urusan pentadbirannya.

Hajiji? Sanggupkah dia membantah cakap bosnya sekarang, atau bekas bosnya dahulu atau bekas-bekas bosnya dahulu dan sekarang? Tergamakkah dia melukakan hati mereka?

Esok lusa apabila dia mengumumkan kabinetnya, akan muncul lagikah tangan-tangan itu untuk mempengaruhi keputusannya? Kalaupun tidak mampu mengelak, mampukah dia membantah?

Selain Hajiji, timbalan ketua menteri I yang dari BN itu pun ada masalah juga. Ada cakap-cakap mengatakan ada tangan-tangan dari Semenanjung cuba memulas telinga Bung Moktar. Mereka mahu dia mengikut kehendak mereka terutama tentang siapa yang patut mewakili UMNO/BN dalam kabinet negeri Sabah. Mereka bercakap berdegar-degar tentang autonomi untuk UMNO Sabah, tapi hakikatnya mereka tidak menghormati autonomi itu. Mereka mahu Bung dan UMNO Sabah mendengar cakap dan kehendak mereka.

Sukar hendak dibayangkan apa akan terjadi, bukan sahaja kepada BN dan PN Sabah, tetapi kepada negeri  ini jika keadaan ini berterusan. Di satu pihak ada ketua menteri yang dikawal oleh tangan-tangan ghaib, manakala di pihak lain pula ada timbalan ketua menteri yang terpaksa makan hati kerana masih terpaksa mengikut kemahuan bos-bos partinya di Malaya walaupun di atas kertas dia mempunyai kuasa autonomi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top