Antara Serangan Ganas Covid-19 Dan Putaran Ganas Ekonomi: Tindakan Kerajaan Perlu Seimbang

DARD-2.jpg
Kongsi Bersama

Oleh: DS Abdul Rahman Dahlan

Melihat pada apa yang berlaku di negara kita mutakhir ini, terfikir oleh saya strategi  manakah yang paling sesuai untuk menangani isu kesihatan dan ekonomi yang sedang melanda:

1) Kalau kerajaan hanya pentingkan isu kesihatan maka kesan ekonomi adalah teruk;

2) Kalau kerajaan hanya pentingkan isu ekonomi maka kesan kesihatan adalah teruk;

3) Kalau kerajaan dapat mengimbangi keperluan menjaga isu kesihatan dan keperluan menjaga isu ekonomi, maka kesan kesihatan dan kesan ekonomi tidaklah menjadi begitu teruk.

Pada kemuncaknya beberapa hari lalu kes harian Covid-19 berlegar dalam lingkungan 4,000 hingga 5,000 jangkitan. Sehari dua kebelakangan pula angkanya berada pada paras melebihi 3,000. Dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pusingan kedua yang sedang dilaksanakan sekarang, apa sasaran kerajaan? Kes turun ke 2,000 sehari? Atau lebih rendah lagi? Apakah kegiatan ekonomi terus disekat sehingga kes menjadi kosong?

Pada pandangan saya kerajaan kena ambil  pendekatan yang sederhana.

Kes aktif sekarang ini di bawah 50 ribu dan kematian 872 orang. Angka ini amat menyedihkan. Kita simpati dengan cubaan dan cabaran hidup  yang terkesan.

Dari segi ekonomi pula, orang yang hilang pendapatan dan  hilang pekerjaan jumlahnya beratus ribu. Malah ada yang bunuh diri, ada yang kena stress, ada yang hilang akal kerana tidak mampu menyara hidup anak isteri.

Saya bukan mahu PKP ditiadakan. Saya cuma mahu supaya tindakan kerajaan mesti diimbangi antara pandemik kesihatan dan mala petaka ekonomi kerana kedua-duanya sekarang ini membawa impak yang amat memudaratkan. Malah jika diperhalusi kesan ekonomi ketara jauh lebih serius kerana ia melibatkan jumlah orang yang lebih ramai berbanding yang terkesan akibat Covid-19.

Rakyat menderita itu benar. Rakyat yang hilang pekerjaan itu benar. Dan kehidupan mereka yang tidak ada gaji tetap seperti kakitangan perkhidmatan awam memang perit.

Hutang bertambah, pendapatan hilang. Ini semua kerajaan kena fikir juga.

Kalau kita tidak melihat kepentingan ekonomi sejajar dengan kepentingan kesihatan, saya khuatir ramai rakyat Malaysia akan kembali menjadi miskin dan yang miskin jatuh ke kategori miskin tegar. Segala usaha berpuluh tahun kerajaan untuk mengangkat kedudukan mereka akan hilang begitu  sahaja.

Pendeknya saya amat khuatir esok lusa, ekonomi kita akan hancur sehingga ramai rakyat akan menderita jauh lebih ramai dari kesan Covid-19.  Bukan senang untuk membangunkan perniagaan dan kehidupan semula. Ia akan memakan masa bertahun tahun untuk kembali seperti sedia kala. Sementara itu, rakyat menangis. Menderita.

Sebagai contoh restoran dan pelancongan adalah bisnes dalam sektor perkhidmatan yang mempunyai trickle effect yang besar dalam ekonomi. Sektor ini adalah majikan besar. Dan rantaian bekalan atau supply chainnya amat luas dan mendalam. Apa-apa juga yang terjadi kepada sektor ini kesannya cukup dahsyat kepada ekonomi.

Buktinya jelas sekarang ini. Selain industri pelancongan yang boleh dikatakan lumpuh, mereka yang terlibat dengan perniagaan makanan, daripada restoran bertaraf lima enam bintang ke gerai makan di bahu jalan terkesan teruk. Demikian jugalah pembekal dan peruncit yang selama ini berkongsi rezeki dengan mereka. Semuanya sudah sampai ke tahap nyawa-nyawa ikan.

Pada saya restoran adalah tempat yang paling ketat pengunaan SOP berbanding dengan premis yang lain. Begitu juga hotel. Kena scan suhu, kena register Mysejahtera dan kena duduk jauh-jauh. Jadi tidak bolehkah kelonggaran-kelonggaran yang sewajarnya diberikan kepada pengusaha-pengusaha yang terlibat dalam sektor ini?

Apakah ‘dine-in’ dengan  duduk dua orang semeja itu lebih besar mudaratnya daripada berada di pasar awam, yang penjarakkannya lebih sukar dikawal?

Saya juga tidak begitu faham kenapa kedai-kedai dan butik-butik pakaian tidak dibenarkan beroperasi sepanjang PKP. Adakah ia lebih berisiko daripada kedai menjual alat telekomunikasi atau kedai dobi?

Saya bukanlah tidak sensitif, dan sememangnya tidak mahu dituduh tidak sensitif, kepada mereka yang menjadi korban Covid-19, tetapi sebagai perbandingan kes-kes kematian akibat lemas dalam negara kita menjangkau 800 orang setahun.

Kes mati dalam insiden kemalangan jalan raya hampir 10,000 setahun. Antara yang tertinggi di dunia kalau dikira dari segi per kapita.

Adakah kerajaan tutup kolam renang, pantai, tempat air terjun, lombong, sungai?

Adakah kerajaan tutup lebuh raya dan jalan?

Jawapannya tidak walaupun angka yang mati jauh lebih besar daripada kematian akibat Covid-19.

Kerajaan hanya beri nasihat supaya pakai tali pinggang keledar, pakai helmet, periksa brek, jaga diri jangan sampai tergelincir ke dalam air, berenang dengan selamat dan sebagainya.

Kenapa kerajaan tidak tutup lebuh raya dan jalan biasa sedangkan kes kematian akibat kemalangan jalan raya lebih sepuluh kali banyaknya dari kematian Covid?

Jawapannya kerana kerajaan mengambil kira semua perkara. Bayangkan kalau semua lebuh raya dan jalan raya biasa ditutup? Ekonomi sudah tentu akan ranap.

Itulah yang saya ingin kongsi. Seorang pun mati kerana Covid-19 adalah tragik dan kerajaan perlu bertindak. Apatah lagi apabila lebih 800 yang sudah meninggal kerana Covid.  Sudah tentu kerajaan perlu buat sesuatu.

Namun akhirnya biar apa pun tindakan kerajaan ia janganlah sampai suasana menjadi  lebih teruk. Tengok peratusan mati kerana Covid dan peratusan yang pulih dari Covid. Jangan sampai kesihatan hancur dan ekonomi pun hancur. Kalau ekonomi juga hancur, 33 juta orang akan merana.

Jadi kerajaan kena imbangkan. Bukan mudah tapi boleh.

 

Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan adalah Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Tuaran.

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top