Banyak orang, dari rakyat biasa sehingga ke pemimpin pembangkang dan pemimpin sekutu kerajaan bertanya tentang pembatalan projek HSR Malaysia-Singapura yang dilapor sebagai menyebabkan Malaysia terpaksa membayar pampasan RM310 juta kepada negara jiran itu.
Tiada yang menjawab. Diam.
Ada yang bertanya mengenai penjualan aset-aset Khazanah, Petronas, PNB, TH Plantations dan banyak lagi.
Tak dengar pun jawapan. Diam.
Cerita penggabungan syarikat hartanah terbesar kerajaan UEM-Sunrise dengan Eco World pun menjadi buah mulut di sana sini. Ada juga suara menuntut penjelasan.
Pun tanpa jawapan. Diam.
Dua hari lepas heboh pasal FDI Malaysia jatuh 68 peratus. Pemuda UMNO menuntut jawapan (atau mungkin juga alasan).
Sampai sekarang belum ada. Diam.
Itu antara beberapa contoh. Sebenarnya banyak lagi kisah dan berita tentang ‘tuntut penjelasan’ ini timbul. Daripada tentang Covid-19 dengan PKP dan vaksinnya hinggalah kepada soal pengangguran, cari makan, ikat perut dan pelbagai lagi.
Sebahagiannya berjawab atau dijawab, tetapi jumlahnya sangat kecil. Yang banyak, hanya diam.
Tidaklah diketahui apakah ini juga satu norma baharu dalam kehidupan di Malaysia. Tetapi itulah yang kita nampak. ‘Mereka yang di atas sana’ kebanyakannya memilih untuk tidak berdepan dengan isu, sebaliknya cuba menjadikan ‘diam’ sebagai jalan keluar.
Apabila terlalu banyak sangat diam, akhirnya tidak dapat tidak ia akan mengundang pertanyaan, apakah mereka ini sebenarnya tahu bekerja? Susulannya mudah dijangka, ia akan membawa kepada tercetusnya pelbagai persepsi lain yang tidak elok.
Betullah, ada peribahasa Inggeris berbunyi ‘speech is silver, silence is golden’. Tetapi peribahasa itu tidak boleh diguna pakai dalam semua keadaan. Harus diingat, jika tidak kena caranya, diam boleh bertukar daripada menjadi emas kepada menjadi tembaga, suasa atau besi karat.
Negara sedang berhadapan dengan krisis yang serius sehingga menyebabkan proklamasi darurat. Dengan bahasa yang lebih mudah, kita sedang berperang. Dalam situasi ini harapan dan pergantungan rakyat kepada kerajaan berada pada tahap kemuncaknya. Kami, rakyat, berada dalam keadaan tidak berupaya merancang dan mencorak apa pun kerana semuanya tertakluk kepada keputusan-keputusan semasa kerajaan.
Dalam situasi ini peranan panglima-panglima perang sangat penting. Mereka harus berupaya membina keyakinan rakyat, dan diam bukanlah caranya.
Kalau tidak mahu melayan isu-isu politik, tidak mengapa. Rakyat faham. Rakyat pun majoritinya tidak berminat dengan isu seperti itu dalam keadaan sekarang. Biarlah Luncai dan belukang sahaja meratib mengenainya.
Yang rakyat dambakan adalah maklumbalas dan tindakbalas yang betul dalam semua perkara yang menyangkuti kehidupan harian mereka, terutama yang berkaitan dengan kesihatan dan ekonomi. Rakyat nak tengok, dalam keadaan mereka diminta ‘mengorbankan’ sebahagian kehidupan harian, pemimpin-pemimpin mereka di atas sana bekerja keras bagi memastikan pengorbanan itu tidak berjalan tanpa penghujung.
Jadi pemimpin kena tunjukkan mereka benar-benar bekerja, dan lebih kuat daripada biasa. Mereka adalah frontliners sebenar dalam peperangan ini.
Tetapi setakat sekarang, maaflah, kebanyakannya tidak kelihatan begitu. Yang bertungkus lumus hanya sekerat dua, yang selebihnya lama-lama sekali ‘ternampak kelibat’nya. Saya tidak mahu menamakan sesiapa atas dasar melindungi air muka orang. Tetapi yang tidak tahu pun akan tahu jika mereka merenung dan menilai anggota-anggota kabinet yang punyalah ramai itu satu demi satu.
Mungkin ada seorang dua yang bekerja keras dalam diam, tetapi sekali lagi saya berpendapat, dalam keadaan sekarang cara itu tidak betul. Rakyat hendak melihat keberanian panglima-panglima mereka bertarung, bukannya yang menjadikan sipu dan malu sebagai hijab untuk menutup kelemahan.
Mereka, pada saya, patut mencontohi Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang sejak selepas PRN dan diamanahkan jawatan, bekerja keras di lapangan sehinggakan ada ketika berita mengenai gerak kerjanya – dengan subjek yang berbeza, di tempat yang berbeza – muncul tiga empat kali sehari.
Dia hebat, sekurang-kurangnya sehingga ke saat ini.
-Adi Alhadi