Annuar Musa Tetap Bersama UMNO, Akan Bantu Calon BN di Ketereh

annuar-1.jpg
Kongsi Bersama

Penyandang kerusi Parlimen Ketereh Tan Sri Annuar Musa, yang tidak dicalonkan semula oleh Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan kerusi itu, mengakui telah menolak tawaran beberapa parti lain termasuk Perikatan Nasional (PN) yang ingin mencalonkannya di kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Annuar yang juga Ketua Umno Ketereh berkata beliau juga mengetahui bahawa calon PN Mejar Jen (B) Datuk Khlir Mohd Nor yang telah diumumkan untuk bertanding di kerusi tersebut masih belum menerima watikah pelantikan kerana tawaran bertanding di kerusi itu telah diberikan kepadanya.

“Tak payah selindunglah, bukan nak berahsia pun tetapi memang sampai saat ini begitulah. Tetapi Khlir pun kawan saya, kenapa saya nak potong rezeki dia? Jadi saya beritahu kepada kawan-kawan serta parti yang nak bawa saya, jangan bergaduh sesama mereka, cukuplah Umno bergaduh sesama Umno kerana saya.

“Tak naklah saya begitu jadi nanti akhirnya saya menyebabkan banyak orang susah, lebih baik saya susah seorang,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Watikah Calon-Calon PRU15 BN Kelantan, di Kota Bharu hari ini.

Annuar berkata beliau menolak tawaran yang diberikan kerana mempunyai prinsip untuk kekal bersama Umno.

“Ada yang berkata esok masih ada lagi, boleh buat kejutan. Pada saya ini soal prinsip dan pegangan. Saya berterus-terang kalau ajak masuk parti lain, saya tak boleh, bukan benci parti lain tetapi memang pegangan saya begitu,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata beliau akan membantu calon BN Parlimen Ketereh, Marzuani Ardila Ariffin, untuk mempertahankan kerusi tersebut pada PRU15.

Sebagai ‘orang lama’ Umno Bahagian Ketereh, beliau bersedia untuk berkorban untuk Marzuani kerana ibu bapa calon muka baharu itu merupakan tulang belakangnya sepanjang berkhidmat di kawasan Parlimen itu.

“Sejak arwah ayah dia (Marzuani) masih hidup dia telah menyokong saya, malah ibunya juga sehingga kini menjadi penyokong saya, kadang-kadang ibunya masak makanan pun hantar ke rumah saya.

“Orang-orang ini pernah berkorban untuk saya, jadi bila tiba giliran mereka (Marzuani) saya perlu berkorban sedikit,” katanya.

– Bernama

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top