Annuar Musa & Kuala Lumpur

annuar.jpg
Kongsi Bersama

Semalam dapat panggilan whatsapp daripada adik saudara di Kuala Lumpur. Bekas jurutera yang hidupnya dirampas sama ada oleh Covid-19 atau oleh PKP. Kini berniaga kecil-kecilan di tepi jalan.

Dia orang muda yang tebal anti-establishmentnya. Sebab itu, apabila selepas melepaskan marahnya kepada PKP dan SOP, dia memuji  Menteri  Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, saya jadi bingung. Berdasarkan sejarahnya, pujian kepada pemimpin adalah perkara terakhir yang seseorang itu boleh harapkan daripada adik saudara saya ini. Kalau carut dan cerca, boleh cari dia.

Asas pada pujiannya itu dua perkara; pertama, langkah Annuar menjadikan KL, Putrajaya dan Labuan sebagai wilayah bebas berniaga – kesempatan yang turut direbut oleh adik saudara saya.

Kedua, kemudahan mendapatkan lesen penjaja dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak Annuar jadi menteri.

Saya tidak kenal Annuar secara peribadi. Hanya biasa lihat dari jauh di PWTC waktu UMNO mengadakan persidangannya. Saya bukan pemerhati politik, saya cuma pemerhati manusia. Berada di PWTC  pun bukan kerana politik, tetapi  kerana hendak berjumpa kawan-kawan.

Tetapi sejak tersiarnya berita Annuar menyantuni gelandangan dan mendapatkan pekerjaan untuk mereka pada sekitar Mei tahun lalu, saya menjadi sangat tertarik. Ia benar-benar meruntun hati

Semenjak itulah saya mula ‘mengekori’ cara bekerja ahli parlimen Ketereh ini. Saya tidak peduli soal pegangan politik dan pendiriannya. Sejak lama saya non-partisan. Pegangan politik saya macam lalang – berubah-ubah; mengikut mana yang saya rasakan betul dan baik. Saya tidak akan biarkan jenama parti merosakkan hak saya untuk menilai.

Saya kenal Kuala Lumpur sejak zaman remaja dan menjadi warganya beberapa tahun kemudian. Ketika zaman bas Sri Jaya dan bas Tong Foong masih berebut-rebut ruang dengan bas mini. Sejak masih ada Cathay dan Pavillion. Sejak Jalan Klang Lama, Jalan Setapak, Selayang, Pandan dan Keramat masih dibanjiri rumah-rumah setinggan. Sejak Chow Kit masih ramai peniaga Melayu sebelum dihimpit atau dikuis oleh saudara kita dari seberang.  Sejak  zaman mak nyah berkeliaran di belakang Coliseum sepanjang malam.

Berbanding dahulu, Kuala Lumpur sekarang jauh berubah. Dari bandar raya yang seakan bergerak tanpa arah menjadi kota dalam taman serba sofistikated yang berlari seiring dengan kota-kota besar lain.

Tetapi seperti kebanyakan kota lain juga, Kuala Lumpur terikat dengan masalah-masalah sosio-ekonominya. Masalah yang terus mengekori, tidak kira berapa jauh ia melangkah. Kemiskinan bandar, gelandangan, pendatang asing, kemudahan mencari rezeki, perumahan, kos sara hidup yang tinggi dan bla-bla-bla-bla. Kisahnya sama dengan watak-watak yang berbeza.

Atas faktor itulah menerajui sebuah kementerian seperti Kementerian Wilayah Persekutuan memerlukan komitmen yang bukan calang-calang. Begitu juga menerajui agensi  awam seperti DBKL  Ia memerlukan lebih daripada seorang menteri yang hanya pandai memotong riben dan seorang Datuk Bandar yang hanya pandai memberi arahan.

Warga Kuala Lumpur tulen tentunya tidak akan lupa pada satu nama. Elias Omar (Allahyarham, Tan Sri, 1936-2016), Datuk Bandar Kuala Lumpur yang ketiga (1981-1992). Namanya seakan menjadi ikon Kuala Lumpur. Sememangnya pun dia layak. Terlalu banyak sentuhan dan sumbangannya yang meletakkan Kuala Lumpur ke tahap yang ada sekarang.

Saya tidak mahu membandingkan Elias dengan mana-mana Datuk Bandar, sebelum atau selepas beliau kerana setiap orang ada sumbangannya. Begitu juga dengan Annuar. Saya tidak mahu mengukurnya dengan menteri-menteri  Wilayah Persekutuan yang terdahulu. Namun jelas bahawa apa yang dilakukannya sekarang, jika diteruskan dengan tulus ikhlas, akan meletakkan dia di kelas tersendiri dalam sejarah Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan.

Dalam tempoh belum setahun telah banyak yang Annuar buat. Sangat banyak.

Bermula dengan usaha membantu gelandangan mendapat perlindungan dan  mendapat pekerjaan, mengubah wajah Pasar Borong Selayang yang sejak sekian lama menjadi lubuk pendatang asing, pengecualian cukai pintu kepada pemilik premis DBKL yang terjejas sebab Covid-19, pengecualian sewa untuk tempoh tertentu kepada warga PPR (MTN) dan Perumahan Awam DBKL, kedai runcit dalam bas, pemasangan 5000 CCTV di lokasi strategik dan banyak lagi.

Yang paling saya ingat kenyataannya pada Jun tahun lalu,” “Kita tidak mahu dilihat seperti kerajaan gerila komunis, kita mula cara baharu,” dengan merujuk kepada hasratnya untuk tidak mahu melihat penguatkuasa DBKL mengejar atau menghalau penjaja kecil, dan dengan itu meminta DBKL memudahkan urusan golongan itu mendapat lesen.

Sumpah, ini kali pertama saya mendengar ayat seperti itu.

Dan dua tiga hari lepas Annuar menyentuh pula tentang Program 5MY, yang telah dimulakan oleh kementeriannya sejak pertengahan tahun lalu dan akan digerakkan secara lebih meluas pada tahun ini. 5MY itu adalah:

MYJob@Wilayah bakal menawarkan lebih 3,000 peluang pekerjaan kepada warga kota terutama yang terjejas akibat COVID-19.

MYSchoolBus@Wilayah bertujuan membantu meringankan perbelanjaan tambang pengangkutan murid sekolah daripada golongan berpendapatan rendah pula akan diperluaskan ke 158 kawasan perumahan awam dan swasta kos rendah membabitkan hampir 10,000 murid.

MYGrocer@Wilayah yang menawarkan golongan B40 membeli barangan dapur pada harga sehingga 20 peratus lebih rendah ke 158 kawasan perumahan kos rendah awam dan swasta serta kampung tradisi sekitar ibu negara.

MYMedic@Wilayah yang menyediakan rawatan asas dan pemeriksaan percuma menerusi klinik bergerak kepada warga kota yang kurang berkemampuan secara mingguan.

MYBeras@Wilayah yang akan dilaksanakan mulai 1 Februari sehingga Jun tahun ini bagi meringankan beban warga Wilayah Persekutuan yang terjejas akibat COVID-19. Sebagai permulaan sebanyak 23,000 kampit beras sumbangan badan korporat dan orang ramai akan diagihkan tiga kali seminggu menerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan.

Melainkan otak kita rosak di mana-mana, kita tidak akan berkata, program-program itu kecil manfaatnya.

Saya pernah menulis tentang kerajinan dan keprihatinan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin turun padang dan menangani isu  di portal ini minggu lalu.

Hari ini saya memilih untuk mengagumi Annuar Musa.

Pada masa yang sama saya berharap ramai lagi anggota kabinet yang sememangnya ramai itu melakukan lebih daripada apa yang sepatutnya bagi membangkitkan kekaguman marhain macam saya. Sesungguhnya dalam keadaan sekarang, kesungguhan, kerajinan dan keupayaan pemimpin memberikan keyakinan kepada kami lebih besar nilainya daripada  bakul makanan – tidak kiralah berapa jumlahnya!

-Oleh: ADI ALHADI

Komen

Kongsi Bersama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top